Agar2 boleh memberi risiko kepada bayi dan menyebabkan bayi tercekik.

Walaupun mempunyai tekstur yang lembut, makanan ringan dalam bentuk agar-agar manis sebenarnya boleh menyebabkan nyawa bahaya kepada bayi berusia enam bulan ke bawah jika tercekik. Pakar Anestesiologi, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),

Dr Maslina Ahmad Marzuki berkata, ini kerana agar-agar boleh menutup saluran pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas.
“Jangan kita anggap makanan lembik seperti agar-agar manis tidak boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik kerana mereka masih belajar makan

dan terdedah kepada risiko itu, walaupun tiada kes kita terima tetapi jangan ambil mudah perkara ini,” katanya kepada Bernama pada Sambutan Hari Anestesia Sedunia peringkat HSAH, di sini, hari ini. Dr Maslina berkata, selain daripada agar-agar, mereka yang tercekik

bebola ikan, biji rambutan dan biji manggis  serta  duit syiling juga boleh bahayakan nyawa jika tiada kaedah menyelamat awal di lakukan di rumah oleh ibu bapa dan ahli keluarga . “Oleh itu amat penting sekali, penjaga dapat belajar kaedah CPR (resusitasi kardiopulmonari) atau kaedah

menepuk belakang serta menekan bahagian dada (ulu hati) kanak-kanak itu untuk melepaskan bendasing yang tersekat di saluran pernafasan dan ini boleh dipelajari sendiri di rumah atau menonton YouTube,” katanya.
Mengenai program itu, Dr Maslina berkata, ia mendedahkan kepada orang

awam tentang teknik pembiusan selain memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan jelas alat-alat pembiusan yang digunakan oleh doktor pakar dan pegawai perubatan setiap kali operation. “…bidang anestesia ini bukan sahaja tertumpu kepada kaedah pembiusan untuk

sebarang operation tetapi juga perkhidmatan perawatan kesakitan, rawatan rapi bagi pesakit-pesakit kritikal dan sebagai pasukan sokongan paling utama di hospital untuk menyelamatkan pesakit,” katanya.
Program dua hari bermula hari ini turut menyediakan pelbagai acara menarik kepada pengunjung seperti tayangan video, persembahan oleh pegawai perubatan siswazah, pameran, senam robik dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. ― Bernama

Apa anda perlu tahu jika anak mula tersedak atau tercekik

KUALA LUMPUR: Apabila seorang kanak-kanak sedang tersedak atau tercekik, ia bermaksud terdapat objek atau makanan yang terperangkap di bahagian trakea (laluan pernafasan). Ini akan mengakibatkan gangguan dalam aliran udara ke paru-paru dan akan menyebabkan kanak-kanak itu tidak boleh bernafas dengan lancar.

Trakea adalah sebahagian organ pernafasan yang dilindungi satu injap, yang dinamakan Epiglottis.  Laluan di bahagian tekak itu dikongsi dengan bahagian esofagus, iaitu laluan bagi makanan dan minuman ke bahagian perut. Epiglottis memainkan peranan penting sebagai ‘penutup’ yang membenarkan makanan dan minuman melalui Esofagus tanpa memasuki bahagian trakea.

Bagaimanapun, timbul situasi dimana bahagian Epiglottis ini tidak ‘tutup’ dengan cepat (ketika kanak-kanak sedang menelan) yang menyebabkan objek atau makanan memasuki laluan trakea. Kebiasaannya, makanan atau objek yang menutupi sebahagian laluan trakea itu mampu dikeluarkan apabila anak itu batuk dan pernafasan mereka akan kembali normal.

JIKA SITUASI LEBIH CEMAS

Kadangkala, timbul juga situasi di mana makanan atau objek tersekat di bahagian trakea yang menghalang pernafasan anak. Laluan udara ke paru-paru yang tersekat akan menyebabkan  otak kekurangan oksigen dan ini boleh menyebabkan bahaya yang mengakibatkan nyawa. Situasi ini serius dan perlu diberi perhatian penuh.

Tanda kanak-kanak sedang tercekik, dan perlu bantuan serta merta:1) Tidak boleh bercakap dan menangis. 2) Muka menjadi biru. 3) Memegang tekak dan minta bantuan. 4) Kelihatan panik. 5) Tidak sedarkan diri. Dalam situasi ini, anda boleh menekan perut, juga dikenali sebagai Manuver Heimlich. Ia adalah prosedur standard menyelamat jika anda sudah dilatih.

TEKAN PERUT (Manuver Heimlich)

Jika anda mempunyai anak, anda digalakkan untuk mengambil latihan dalam bantuan pernafasan (CPR) dan teknik menekan perut (Manuver Heimlich). Kepada yang tidak mempunyai anak turut digalakkan kerana mungkin pengetahuan dan latihan ini boleh membantu menyelamatkan sesiapa dalam situasi yang mencemaskan. Teknik menekan perut adalah dimana penolakan udara secara mengejut ke laluan trakea dari diafragma (bahagian perut) yang boleh menolak keluar objek atau makanan yang tersekat.

Walaupun teknik ini kelihatan mudah, ia perlu dilakukan dengan penuh berhat-hati terutamanya ke atas kanak-kanak kecil. Terdapat juga teknik khas dalam menekan perut kepada bayi kerana saiz mereka yang kecil dan jika ia tidak dilakukan dengan betul boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh kerana itu, teknik ini paling selamat dilakukan oleh individu yang terlatih.

APA ANDA BOLEH BUAT

Ini bergantung kepada situasi: Kanak-kanak masih boleh bernafas: 1) Jika kanak-kanak itu sedang tersedak atau tercekik, tetapi masih boleh bernafas dan bercakap, ini bermakna laluan pernafasan masih ada. 2) Jangan cuba keluarkan objek atau makanan itu kerana ia mungkin akan menolaknya lebih dalam.

3) Langkah terbaik dalam situasi ini adalah untuk tidak melakukan apa-apa, tetapi beri perhatian penuh ketika kanak-kanak itu batuk  sehingga dia kembali bernafas seperti biasa.Apa yang anda perlu lakukan jika kanak-kanak tidak boleh bernafas? 

1) Minta bantuan kecemasan. Pastikan anda menyimpan nombor kecemasan, ini termasuk nombor hospital terdekat, nombor keluarga terdekat serta jiran. 2) Jika kanak-kanak itu sedar tetapi tidak boleh bernafas atau bercakap atau mula menjadi biru, gunakan teknik menekan perut. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa yang sudah dilatih melakukan teknik ini.

Sumber : Astroawani

Author: fafa