Altimet buka mulut tentang kisah disebalik paras rupa dan isu kulitnya yang mendapat pujian ramai

Altimet dedah apa yang sebenarnya berlaku pada diri beliau.

Penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 41, menyifatkan kulit wajahnya sebagai perisai untuk dirinya. Berkongsi catatan mengenai kulit di laman Instagram, pelantun lagu Amboi ini mengakui kulit wajahnya menjadi pelindung untuk dirinya dari wanita-wanita yang boleh melal4ikan.

“Kulit aku perisai aku. Kulit aku banyak lindungi aku dari benda benda negatif. Dari orang yang menilai orang lain hanya dari segi luaran sahaja. Tak ramai orang macam ni dalam hidup aku. Alhamdulillah. “Kulit aku lindungkan aku dari wanita wanita yang boleh melalaikan aku. Dengan itu membuka jalan untuk yang nampak lebih dalam dan mendapat jalan masuk ke dalam hati aku.

“Kulit aku pernah membuat saingan saingan aku memandang rendah kat aku, jadi mereka tak endahkan aku, sekaligus memberi aku ruang untuk menjadi lebih kuat dan handal untuk mengatasi mereka. You know who you are,” tulisnya. Mengakui dirinya tidak tampan, Altimet juga tidak bergantung kepada rupa untuk berjaya dalam bidang seni yang diceburi olehnya.

“Kulit aku membuat orang memberi nasihat kat aku supaya jangan bergantung pada rupa untuk berjaya dalam bidang ni. Oleh itu, aku meletakkan harga diri aku pada kualiti karya aku. “Ye, aku tak tampan, tapi pena aku menari atas kertas dengan lenggok yang lawa, yang tajam bila perlu, yang lembut bila kena masanya, yang lain daripada yang lain.

“Kulit aku ni Allah bagi kat aku jadi aku boleh jadi aku. Dia bagi aku Kulit yang tebal, jadi bagilah kuat mana, Insya-Allah tak lut. “Kalau awak ada Kulit mcm ni, atau rasa kecewa sebab orang lain lagi cantik, lawa, hensem dari awak, jangan risau. Ada hikmahnya. Lagipun, kulit yang mulus / cantik tak kekal selamanya,” tulisnya lagi

Di ruangan komen, rata-rata peminat bersetuju dengan nukilan yang dicoret oleh Altimet dan menyokong buah fikiran penyanyi itu. Dalam perkembangan lain, Altimet kini duduk di kerusi juri tetap program Muzikal Lawak Superstar (MLS) bersama Datuk Awie dan Nora Danish. MLS akan bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Komen :

Sumber : sinar.kini

Artikel lain : Memang sengaja pakai selekeh dan kereta buruk bila pergi reunion

Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat telah mengajak saya menemaninya ke kedai spare parts. Saya dengan rela hati menemaninya lalu kami pergi ke bandar Klang. Usai membeli barangan yang dikehendaki, dia mengajak saya mengikutnya ke majlis reunion rakan sekolah rendahnya. Sudah tentu saya rasa keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa di situ.

Tambahan pula pada ketika itu saya berpakaian agak selekeh. Namun dia tetap mendesak saya mengikutnya membuatkan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji, perjumpaan itu hanya sekejap sahaja. Di restoran berhawa dingin itu, beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar, terdapat deretan kereta-kereta mewah.

Dia masuk berjumpa dengan mereka dan bertegur sapa. Rata-rata mereka sudah lama tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka sudah berpuluh tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya. Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang. Saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok. Ada kelompok guru, businessman, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus, mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai.

Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut. “Woi! Kau pakai kereta apa sekarang?” Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan show off kereta? Lebih memualkan apabila ada sahabatnya yang terang-terang bercerita mengenai perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara.

Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ada-ada. Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka. Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori sehingga kereta. Mereka masih berbual-bual. Kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa, mereka bukan calang-calang orang. Salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi ahli perniagaan. Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian.

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing. Di dalam kereta, saya bertanya pada sahabat saya itu, kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya? Dia mempunyai kereta BMW, Mercedes, Honda, Toyota Hilux dan beberapa lagi kereta mewah yang lain. Tetapi Proton Wira yang sudah berusia buruk ini juga dibawanya.

“Memang saya sengaja. Saya nak melihat perangai sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua sahabat yang masih menganggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat.” katanya. Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri.

Kita mampu memiliki dan mengganti kesemuanya itu bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita. Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. Namun jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal sehingga ke hujung nyawa.

Sumber : expressviral

Author: Iqbal