Beby Maembong lihat ramai wanita silap memilih pakaian dalam yang sesuai menyebabkan banyak lemak di bahagian tertentu menonjol.

Ramai wanita yang sudah berkahwin dan berstatus ibu memberi alasan tidak mempunyai masa untuk mencantikkan diri kerana sibuk dengan anak dan kerjaya. Bukan itu sahaja, ada juga sesetengah wanita gemuk berputus asa dalam menjaga penampilan kerana kurang yakin untuk berfesyen.

Justeru, model dan selebriti laman sosial yang terkenal dengan imej ikan duyung iaitu Beby Maembong mula menjadi inspirasi ramai wanita apabila mempunyai fizikal seperti anak dara walaupun sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Kakak kepada pelakon Emma Maembong ini menjelaskan, para wanita harus menjaga penampilan tanpa mengira usia atau status dengan mencantikkan diri. Bagi pemilik nama sebenar Nurulaini Ismail, 29, kesibukan bukan alasan untuk tidak cantik.

“Semenjak menjadi tular dalam laman sosial apabila diberi julukan wanita ikan duyung yang mempunyai tubuh cantik, saya sendiri tampil mahu membantu wanita yang berputus asa dengan diri sendiri. Semangat ini lebih berkobar-kobar apabila ramai yang bercerai disebabkan suami bosan

dengan penampilan isteri yang tidak menjaga kecantikan. “Kepada wanita terutama yang sudah bergelar isteri dan ibu di luar sana, saya tahu ramai yang kurang yakin dengan tubuh atau penampilan diri,” katanya. Kata Beby Maembong, perkara pertama yang ditekankan adalah perspektif

seseorang kerana ada sesetengah wanita tidak mahu mencantikkan diri dengan alasan bertubuh gemuk. “Cantik tak semestinya kurus. Gemuk pun cantik tau! Biar gemuk asalkan ada potongan badan. Tengok saja model bersaiz besar di luar negara, mereka diterima baik.

Jadi apa kurangnya kita kan?,” katanya. Beby Maembong percaya potongan badan tidak semestinya kena langsing tetapi biarlah sedap mata memandang. “Juga kena bijak memilih baju atau fabrik yang sesuai dengan saiz badan kita,” kata Beby Maembong yang sering memberi tip cara

berpakaian agar nampak cantik. Antara yang ditekankan ialah wanita perlu memakai pakaian dalam yang betul terutama bagi mereka yang bersaiz besar. “Apa yang saya lihat ramai wanita silap memilih pakaian dalam yang sesuai.

Hal ini menyebabkan banyak lemak di bahagian tertentu menonjol dan menyebabkan timbul rasa kurang selesa apabila berhadapan dengan orang ramai. “Setelah memilih pakaian dalam yang sesuai, carilah bengkung yang selesa dengan tubuh anda.

Bengkung yang merupakan petua turun-temurun masyarakat Melayu bagus untuk membentuk potongan badan yang cantik,” kata Beby Maembong yang terkenal dengan gelaran Slimdollz (Duyung Pinggang Kerengga).

Kenapa duyung?

Beby Maembong berkongsi rahsia kenapa dirinya amat obses dengan karakter ikan duyung sehingga ramai yang memberi gelaran sebegitu kepadanya.  “Semenjak kecil saya memang sukakan karakter duyung.

Dulu saya terpaksa lupakan  hobi ini kerana kosnya yang sangat tinggi. Nak tahu, ekor yang ditempah khas harganya antara RM10,000 hingga RM30,000 mengikut fabrik dan corak yang dimahukan.  Setakat ini saya sudah ada lima koleksi ekor ikan duyung.

“Sekarang, setelah bergelar usahawan produk, saya sanggup berhabis banyak demi hobi yang sudah lama saya impikan. Bukan itu sahaja, saya pun suka menyelam menggunakan ekor duyung sahaja.  Sebagaimana watak duyung dalam cerita kartun yang menyelam sambil melihat keindahan bawah laut, itu juga yang saya lakukan.

“Selain pulau-pulau di Malaysia, pulau luar negara yang pernah saya pergi untuk menyelam ialah di Krabi, Phuket dan Lombok. “Jangan tak tahu, bukan mudah menyelam  hanya menggunakan ekor duyung. Sebelum ini saya mengikuti kelas menyelam khas selama tiga tahun untuk mempelajari teknik pernafasan dan cara duyung berenang,” kongsi Beby Maembong.

Sumber : Utusan

Author: fafa