Bila terkena bentan, rasa sejuk menggigil, amalkan segera Sushi Garlic untuk rawat masalah bentan ketika berpantang

Amalan berpantang selepas bersalin adalah perlu bagi memulihkan kembali tubuh badan si ibu. Banyak kebaikannya namun adakalanya si ibu terlanggar pantang lalu mendatangkan masalah bentan. Bila terkena bentan, si ibu akan rasa sakit urat dan badan terasa sejuk.

Pakailah baju sejuk berapa lapis atau selimut tebal macam mana pun tetap akan rasa sejuk menggigil. Jadi, bagaimana mahu merawat masalah bentan ini? Perunding Jamu, Norliza Mohd Salleh, berkongsi petuanya dengan menggunakan bahan yang sedia ada di rumah.

Malam ini tiba-tiba ada yang mengadu terkena bentan, badan menggigil sejuk sampai gigi berlaga katanya, dan badan berbisa-bisa. Kasihan sangat, jadi saya pun kongsikan tips yang pernah dikongsikan sebelum ini. 
Alang-alang itu juga, saya kongsikan kepada anda semua.

InsyaAllah moga bermanfaat. Ini penyediaan dan tips tradisional bagi mengurangkan gejala tersebut. Cara moden mungkin lain pula caranya. 
AL-KISAH ramai yang mengadu terkena bentan ketika berada dalam pantang. Hari ini kita nak bagi tips untuk mengurangkan masalah bentan. 

Ini hanyalah tips atau amalan orang lama, cara tradisional. Tetapi jika cara moden, mungkin lain pula caranya dan ini hanyalah salah satu ikhtiar saja untuk mengurangkan gejala tersebut. Apa-apa pun jika berlarutan, mohon rujuk pada yang pakar.

Kita panggil sushi garlic, tetapi bukan dari beras pulut. Guna beras nasi biasa sahaja tau. BAHAN-BAHAN : Nasi panas (lembik sikit), Beberapa ulas bawang putih. Caranya amatlah mudah. Bawang putih dibakar/sangai dulu. Tak perlu bakar sampai rentung, nanti pahit pula jadinya.

Selepas bakar, masukkan seulas yang sudah dibakar itu ke dalam nasi dan dikepalkan. Dah siap, terus makan perlahan-lahan. Sebelum itu baca bismillah dulu dan selawat. InsyaAllah bentan akan hilang serta berkurangan. Bentan jangan dibuat main-main, merana jiwa dan raga. 

Share kepada wanita di luar sana, jika ada yang sedang berpantang. InsyaAllah moga bermanfaat. Sumber: Norliza Mohd Salleh

3 jenis bentan selepas bersalin dan risikonya yang tak pernah anda tahu, penting ini!

Panik dan rasa nak pitam bila tengok cairan tiba-tiba mengalir di celahan kaki. Itulah bentan! Tapi apa nak buat? Perkataan bentan sering kali kita dengar apabila selamat melahirkan bayi tidak kira secara normal mahupun pembedahan.

Ia dikaitkan dengan komplikasi dalam tempoh berpantang yang perlu dijaga rapi selama 44 hari. Jika wanita bersalin menjaga pantang dengan baik, pasti bentan tidak akan terjadi.  Tetapi jika sebaliknya seperti melanggar pantang larang tertentu, ia boleh berlaku.

Apakah maksud bentan? Bentan bermaksud ibu bersalin yang mengalami sakit badan, sakit urat dan pinggang dan sakit di kawasan peranakan yang boleh menyebabkan tumpah cairan merah

2 punca bentan yang paling utama

Mengambil makanan yang berunsurkan sejuk, Tersepak benda keras. Apabila larangan ini dilanggar, badan akan berasa sejuk dan anda akan rasa ingin pitam. Ia berpunca daripada dalaman ibu yang belum sembuh sepenuhnya. Jika ia berlaku, sukar ibu untuk sihat dan pulih segera. Ada yang berminggu dan ada yang berbulan untuk sembuh.

Jenis-jenis bentan yang anda perlu tahu

1.Bentan urat pinggang

Biasanya bentan urat pinggang terjadi kepada wanita yang melahirkan bayi secara caesarean/operation. Lenguh di bahagian pinggang akan dirasai sehari atau dua hari selepas melahirkan. Semasa berpantang ini, duduk dan bangun harus lebih berhati-hati kerana luka jahitan belum pulih.

2. Bentan urat peranakan/rahim

Semasa berpantang, sila jangan buat kerja berat atau angkat benda berat di luar kemampuan wanita berpantang. Hal ini kerana rahim belum cukup kuat untuk mengampu tubuh daripada angkat benda yang berat. Selain itu, bimbang sekiranya tumpah cairan merah terjadi. Lebih baik anda tidak berbuat apa-apa dan hargailah tubuh badan agar tidak mengalaminya.

3. Bentan urat

Bentan urat antara paling kerap berlaku di kalangan wanita bersalin. Harus diingat, jika anda terkena yang jenis ini sepanjang hari tidak dapat bangun. Badan turut berasa lemah dan terasa sendi-sendi di seluruh tubuh. Hingga ada ketikanya menggigil kesejukan walaupun cuaca panas.

Rawatan elak dari bentan bersalin

Banyakkan berehat: Sebaiknya selepas bersalin, anda seharusnya merehatkan diri kerana badan memerlukan rehat yang secukupnya bagi memulihkan tenaga yang sudah hilang. Jangan sesekali angkat benda berat dan jaga pemakanan sepanjang berpantang.

Menjaga kebersihan: Sepanjang berpantang jagalah kebersihan diri dengan sebaiknya seperti menukar lampin wanita dan mencuci alat kelamin dengan menggunakan garam dan kunyit atau menggunakan produk pencuci yang sesuai.

Menjaga pemakanan dan Pantang ‘bersama’ suami : adalah tidak sesuai untuk bersama suami selama 46 hingga ke 100 hari. Kedua-duanya harus berpantang bagi memulihkan dalaman isteri.

Info ringkas bentan cara tradisional

Kerap sapu minyak panas di seluruh badan yang bertujuan badan akan berasa selesa, ringan dan mudah membuang angin. Memakai baju yang tebal dan panas bagi mengelakkan kesejukan di malam hari. Menyarung stoking sepanjang masa selepas mandi bagi mengelakkan angin masuk ke tubuh. Akhir sekali, jangan lupa bertungku untuk mengembalikan peraliran ke seluruh tubuh

Sumber: ummitiqah siraplimau

Author: Iqbal