Ernie Zakri rasa tertipu, menyesal terima tawaran berlakon. Ingatkan job itu kacang, tak sangka macam ni pula.

Ernie mengakui tertekan membawa watak wanita psiko menerusi drama berjudul Suri Katarina. PENYANYI Ernie Zakri mendedahkan tertekan dengan watak utama yang dibawanya menerusi drama berjudul Suri Katriana. Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 27, berkata, dia pernah berasa menyesal menerima tawaran lakonan apabila watak itu turut meninggalkan impak terhadap emosi dirinya.

“Pada mulanya saya terima tawaran ini kerana mereka (pihak produksi) beritahu saya hanya terlibat dalam sembilan daripada 49 episod. Saya pun berlagaklah ambil job itu. Mereka kata watak Suri ini seorang penyanyi dan penari di kampung. Sebab itulah saya sangka job ini kacang saja.

Tapi selepas pergi meeting dan baru tahu siapa pelakon lain, telan air liur saya. Rupanya komitmen untuk berlakon ni bukan mudah. Saya ingatkan watak dia ringan tapi tak sangka berat dan boleh saya katakan sangat sukar untuk saya bawakan sebenarnya. Saya kena lahirkan watak psiko itu untuk dibawakan oleh Katriana iaitu lakonan Ummi Nazeera,” ujarnya.

Ernie (kanan) turut bergandingan bersama Zul Huzaimy (tengah) dan Aishah Azman (kiri) dalam drama Suri Katriana. Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertama mencuba bidang lakonan, Ernie berkata, babak paling mencabar yang terpaksa dilakukannya adalah menangis.

Malah, Ernie turut mengakui berlakon adalah bukan jiwanya. “Ini kali pertama saya berlakon, pengalaman paling sukar apabila mereka minta saya untuk menangis. Sedikit sebanyak ia memang memberi tekanan kepada saya. Kalau bangun jam 7 pagi orang suruh menyanyi pun saya dah happy untuk buat tapi bila berlakon ni saya hanya akan menangis di bucu katil dulu. Senang cerita, lakonan bukan jiwa saya.

“Memang saya seorang yang mudah menangis tapi bila berlakon dan mereka minta saya menangis, ianya memang susah. Berani untuk saya katakan ini adalah tawaran berlakon terakhir yang saya akan terima dalam tahun ini. Saya pun tak faham kenapa ada Ernie Zakri dalam drama ini,” selorohnya.

Ernie memegang watak sebagai wanita psiko bernama Suri. Bagaimanapun kata penyanyi lagu Ku Bersuara ini, dia bersyukur kerana ditawarkan dalam bidang lakonan selain menganggap ia sebagai rezeki buat dirinya. “Ya, saya ada rasa menyesal. Kalau boleh tarik memang saya nak… walau bagaimanapun saya bersyukur kerana ini pengalaman yang sangat bermakna untuk saya.

Saya anggap ini rezeki sebab saya terpilih untuk berlakon. Saya memang salute pelakon-pelakon lain sebab mereka boleh luangkan masa yang lama dekat set, boleh hayati banyak-banyak emosi dalam satu drama. Saya tak mahu cakap untuk berhenti terus dalam bidang lakonan… mana tahu kalau berlakon adalah rezeki untuk saya, kita lihat macam mana,” katanya.

Sumber: mstar

Artikel lain: Ernie penuhi angan-angan

JALAN dilalui Ernie Zakri untuk berada pada tahap ini penuh liku dan kerja keras. Kerjaya yang dibina bukan diukir dalam sehari tetapi memakan masa bertahun lamanya. Turut bergelar guru vokal serta membuktikan kemampuannya di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), kriteria itu melayakkan dia dipilih sebagai pembimbing program Mentor yang memulakan sesi uji bakat semalam.

Ernie yang lahir daripada sebuah pertandingan nyanyian melihat Mentor sebagai landasan buat individu yang punya bakat dan memasang impian untuk bergelar penyanyi. “Sejak dulu lagi ada banyak pertandingan bagi mencari bakat baharu. Saya rasa program seperti ini masih relevan kerana membantu individu berbakat mencapai impian mereka menjadi penyanyi.

“Zaman sekarang sesiapa saja boleh jadi penyanyi. Rekod video, kemudian kongsikan di media sosial. Namun, menerusi pertandingan inilah dapat menguji mereka sama ada layak berada dalam industri atau sebaliknya. Menjadi penyanyi tidak hanya memerlukan suara sedap tetapi juga fokus dan keberanian.

“Setiap lagu mempunyai aura dan emosi berbeza untuk diberikan kepada penonton,” katanya. Menyanyi di atas pentas ketika membuat persembahan dan pertandingan akan menimbulkan emosi serta perasaan berbeza. Begitu juga menyanyi secara langsung dan sekadar duduk di hadapan skrin.

Oleh itu, Ernie menyeru individu berbakat dan berani menyahut cabaran tampil menyertai program berkenaan. Mungkin ia menjadi laluan mencapai cita-cita menjadi anak seni. “Kalau individu berkenaan ada bakat, saya yakin suatu hari nanti mereka akan berjaya.

“Mungkin mereka boleh nyanyi di IG tetapi kaku di atas pentas. Tidak mengapa, mentor akan bantu untuk perbaiki perkara itu. Sesiapa saja pun kena biasa dengan persekitaran barulah dapat memberikan persembahan yang bagus. Harus biasa dengan pentas untuk buat persembahan yang menarik perhatian penonton,” katanya.

Bercakap mengenai pertandingan, pasti akan ada golongan berasakan tidak adil buat peserta berbakat namun tersingkir awal dan kemudian mula menyalahkan pihak tertentu kerana tidak membantu. Bagi Ernie, setiap peserta harus ingat penyingkiran adalah perkara yang harus dihadapi apabila bertanding apatah lagi dalam pertandingan yang membabitkan undian.

“Peserta harus ingat, dalam pertandingan berdasarkan undian, mereka harus mempersiapkan diri untuk disingkirkan. Semuanya berdasarkan rezeki juga. Saya pernah menjadi guru vokal untuk sebuah pertandingan yang disertai oleh Andi Bernadee. Dia antara peserta tersingkir awal tetapi lihat pencapaiannya sekarang.

“Saya turut berbangga dengan kejayaannya. Bagus tetapi tersingkir awal tidak menentukan kejayaan seseorang itu dalam industri. Semua itu adalah rezeki. Sama ada lambat atau cepat, kalau kita usaha dan sabar, apa yang diimpikan pasti menjadi,” katanya. Pertama kali jadi mentor. Menurut Erni, sepanjang bergelar penyanyi ada beberapa impian ingin dicapainya termasuklah berdiri di pentas AJL dan menjadi mentor.

“Alhamdulillah, saya berjaya memenuhi angan-angan ini. Ini pertama kali saya menjadi mentor dan saya gembira kerana diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai pembimbing. Namun bimbang penerimaan ramai kerana saya adalah muka baharu.

“Tiga lagi mentor sudah tiga tahun bersama program ini dan Stacy pula pernah bantu Akim,” katanya. Sebagai mentor, sudah pasti Ernie mempunyai kriteria yang diinginkan. Bagaimanapun, konsep kali ini agak berbeza kerana selepas persembahan protege itu sendiri yang akan memilih mentor.

“Kali ini mentor kena jual diri agar dipilih oleh protege. Saya tidak rasa guru vokal dan kejayaan sebelum ini satu kelebihan kerana saya baru pertama kali dengan mentor sedangkan yang lain sudah berpengalaman. Saya mencari seorang penyanyi yang mempunyai vokal hebat dan pejuang kerana akan ada pusingan ‘battle’.

“Oleh itu, suara menjadi senjata penting untuk berlawan. Apa pun, pada pertandingan itu nanti saya hanya mampu membantu dan membimbing kerana di akhir waktu, mereka menyanyi atas nama mereka sendiri dan bukannya saya,” kata Ernie.

Sumber: harian metro

Author: pyka