Francissca Peter kesal tindakan Syed Saddiq bawa Bts ke Malaysia, beliau kata itu merupakan penghinaan buat mereka

Penyanyi senior berbakat, Francissca Peter berasa kesal dengan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang akan membawa masuk kumpulan penyanyi popular Korea, BTS ke negara ini. Menurut Francissca, dia berasa terhina dengan perkara itu,

kerana berpendapat usaha keras artis tempatan tidak dihargai. “Terus terang saya katakan, saya tidak begitu gembira dengan perkara ini, mengapa perlu mengundang artis luar negara untuk adakan persembahan berskala besar?

“Perkara itu merupakan satu penghinaan buat kami sebagai penggiat seni tempatan. “Negara kita sudah punyai banyak artis yang berkualiti namun pada masa yang sama, ramai juga di antara kami yang menerima bayaran yang sangat rendah, boleh diibaratkan seperti artis ‘mesin karaoke’ sahaja,” katanya kepada Gempak.

Francissca ditemui di sidang media A Night With Legends Desaru Coast bertempat di Restoran Rebung, Kuala Lumpur petang semalam. Dalam pada itu, pelantun lagu Sekadar Di Pinggiran ini turut mencabar Syed Saddiq untuk menganjurkan sebuah konsert besar-besaran dengan

dana yang sama khas buat artis tempatan untuk menonjolkan bakat mereka. “Jika kami diberi bajet yang sama, kami akan beri persembahan yang memukau, pilih saja artis tempatan yang disukai, ketika itu saya akan tunjukkan maksud persembahan yang sebenar,” tambahnya lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didesak membatalkan hasrat membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS, ke negara ini, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Menyifatkan langkah membawa masuk kumpulan dari Korea itu sebagai tidak bijak,

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan dibawah pimpinan Pakatan Harapan sepatutnya menunjukkan komitmen untuk memelihara negara daripada terpengaruh dengan budaya luar.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Belia dan Sukan juga patut mengutamakan budaya kebangsaan untuk menarik pelancong, bukannya mengundang artis luar hanya kerana mendatangkan keuntungan lumayan. “Apakah budaya tempatan yang mempunyai nilai tersendiri tidak mahu diketengahkan.

Kumpulan K-Pop BTS yang lebih membawa nilai asing dari Barat, malah tidak mempunyai sebarang nilai sahsiah pula ditonjolkan. “Justeru, kami mengesa agar pihak KBS membatalkan hasrat mengundang BTS dari Korea, dan rujuk kembali kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaaan

agar mengadakan acara yang tidak bertentangan nilai tempatan,” katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan, pihaknya dalam usaha membawa masuk kumpulan itu ke Malaysia tahun depan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau menjelaskan kehadiran kumpulan muzik luar negara ke Malaysia bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu pelaburan yang menguntungkan buat negara. Malah, beliau berkata, pihaknya komited menjadikan Perbadanan Stadium Malaysia (PMS) sebagai hub industri hiburan yang bakal memberi pulangan kepada negara.

Author: fafa