Ibubapa harus pandai bahagi sama rata kasih sayang kepada anak anak. Yang kurang kasih sayang itulah nanti akan jaga ibubapa yang dah tua.

GAMBAR HANYA SEKADAR HIASAN.

Mengasuh serta mendidik anak-anak yang kian membesar perlulah dilengkapi dengan sifat kesabaran yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila setiap anak itu mempunyai ragam dan perangainya yang tersendiri. Maka sudah menjadi lumrah sebagai ibu bapa, kadang-kala kita terlepas pandang tumpuan serta kelakuan yang kita tunjukkan terhadap anak-anak. Dan antara kesilapan yang biasanya dilakukan adalah sikap membeza-bezakan anak, tak kiralah sama ada antara mereka adik-beradik mahupun dengan anak orang lain.

Jangan Bezakan Anak-Anak. Hakikatnya, inilah antara ujian yang terbesar dikirimkan oleh Allah agar kita semua boleh belajar untuk berlaku adil terhadap zuriat masing-masing. Sebagai peringatan untuk kita semua, fahamilah intipati perkongsian video daripada kaunselor motivasi terkenal iaitu Hj Hushim Hj Salleh ini.

Jangan bandingkan anak ikut pencapaian akademik. Menerusi kebanyakkan pengalamannya dalam menguruskan masalah anak-anak muda, ramai sebenarnya yang ‘muak’ dengan orang tua masing-masing. Menurutnya, perbandingan utama yang sering dilakukan oleh ibu bapa adalah dari segi pencapaian akademik. Anak yang pandai akan dipuja atau dilebihkan manakala yang kurang cemerlang pula akan dapat layanan biasa-biasa saja.

Ibu bapa kena pandai jaga mulut depan semua anak. Jelas Hj Hushim lagi, rata-rata ibu bapa masa kini juga kadang-kadang tidak pandai untuk menjaga mulut sewaktu berinteraksi dengan setiap cahaya mata mereka. Terdapat banyak perkara sensitif yang boleh disentuh gara-gara perilaku ini termasuklah seperti membandingkan warna kulit, akhlak serta moral mereka. Selain itu, parents juga perlu elakkan daripada membandingkan antara anak lelaki dan juga perempuan.

Selalunya anak yang kena banding itulah yang akan jaga ibu bapa sampai tua. Dalam pada itu, kaunselor ini turut berkongsi pengalaman ketika menemui golongan yang pernah berhadapan dengan masalah ini dalam hidup mereka. Hasil penemuannya, majoriti anak yang sering dibandingkan atau kurang cemerlang itulah yang akan menemani ibu bapa paling lama, Mana taknya, yang dah berjaya pasti akan sibuk dengan kerjaya masing-masing atau melanjutkan pelajaran jauh dari rumah. Setiap anak ada kelebihan masing-masing dan amalan negatif ini hanya memberikan kesan psikologi yang boleh berbekas sepanjang hayat mereka.

Sumber : YouTube Hj Hushim Hj Salleh & Mingguan Wanita.

Author: pyka