Jangan biarkan anak tidur sambil hisap botol susu. Itu punca utama gigi anak rosak.

Sudah pasti ramai tidak tahu termasuk admin sendiri yang rupanya botol susu merupakan salah satu penyebab berlakunya karies gigi bagi anak-anak. Memang kita selalu lihat dan nampak, kanak-kanak kecil giginya rosak, ramai yang beranggapan ianya kerana terlalu banyak makan

gula-gula atau makanan manis, tetapi rupanya ia adalah sebab botol susu.
Seorang doktor gigi bernama Dr Iqbal Rosali telah memuatnaik sebuah artikel berbicara mengenai perkara ini, beliau meminta supaya ibu bapa supaya mengambil langkah-langkah pencegahan.

BOTOL SUSU PENYEBAB GIGI ROSAK?

Post ini tidak ada kena-mengena dengan Exclusive Breastfeeding. Post ini bukan menyalahkan susu formula. KARIES BOTOL SUSU terjadi apabila bayi atau kanak-kanak dibiarkan tidur ketika sedang menghisap susu atau air manisan daripada botol susu.

Cecair yang tidak dibersihkan daripada dalam mulut bayi ini akan menyelaputi gigi dan menyebabkan kerosakan pada gigi. Gigi yang sering kali menjadi mangsa ialah gigi susu hadapan atas. Rata-rata ibu bapa mengendahkan perkara ini dan membiarkan sahaja gigi susu ini rosak,

dengan alasan boleh diganti dengan gigi kekal. Tidakkah ibu bapa kasihan anak-anak menangis kerana sakit gigi dan bengkak pada gusinya? Tidakkah ibu bapa kasihan melihat anak-anak tidak ada gigi untuk makan dan bertutur dengan baik?

Tidakkah ibu bapa kasihan pada anak yang menangis pada tengah malam kerana sakit gigi? APA LANGKAH TERBAIK IBU BAPA? Jangan biarkan bayi tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan. Bersihkan mulut bayi selepas meminum susu dengan menggunakan kain lembap

yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi bayi untuk membuang sisa susu. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Galakkan minum menggunakan cawan atau sudu seawal usianya 6 bulan.

Bilas mulut bayi anda dengan menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu. Elakkan memasukkan gula ke dalam susu bayi anda. Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak-anak berusia di bawah 6 tahun. Bawa anak untuk pemeriksaan gigi di klinik gigi setiap 6 bulan. Iqbal, Kesian tengok budak kecil yang sudah rosak giginya.

Punca Gigi Anak Reput Dan Hitam, Rupanya Salah Pilih Susu

Sebaik sahaja usia bayi meningkat, ibu yang bekerjaya umumnya akan menggantikan susu badan dengan susu formula yang dibeli di pasaraya. Namun apa yang ramai tidak tahu, bukan semua susu formula baik dan sesuai untuk bayi anda biarpun ia diyakini mengandungi vitamin dan nutrisi penuh untuk tumbesaran si cilik. Berikut merupakan antara beberapa faktor yang boleh diambil kira sebagai punca kepada masalah gigi dalam kalangan anak kecil.

SUSU FORMULA TINGGI KANDUNGAN GULA

Dalam iklan-iklan susu Formula yang ditonton menerusi kaca TV, kebanyakannya hanya mendedahkan betapa susu kaya dengan kandungan Asid Folik, Zat Besi, DHA, Vitamin D, Kalsium, Omega dan banyak lagi tetapi hakikatnya, ramai tidak tahu bahawa susu formula sebenarnya mengandungi kadar gula tinggi. Baik susu berperisa coklat mahupun asli, rata-ratanya mendedahkan gigi anak kepada kerosakan berganda lebih-lebih lagi apabila susu tersebut diminum ketika hendak tidur.

GIGI HITAM KERANA TERDEDAH PADA MINUMAN BERGULA

Kerapuhan gigi dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan gigi yang terdedah pada cecair bergula untuk jangka masa panjang. Ini termasuklah jus, minuman berkarbonat dan segala macam minuman lain yang mengandungi kandungan gula -boleh rujuk label info nutrien pada produk

minuman. Bukan itu sahaja, setiap kali anak meminum minuman bergula secara berterusan seperti susu formula itu sendiri, serangan asid akan berlaku pada gigi dan gusi lalu bermulalah kerapuhan gigi. (gigi pecah, patah, retak dan kehitaman).

CARA MENGATASI MASALAH GIGI RAPUH/HITAM. Cuba kurangkan pengambilan minuman atau makanan bergula secara berkala, sedikit demi sedikit dalam tempoh masa 2 hingga 3 minggu untuk membiasakan si anak.

-Cuba tambah sedikit air ke dalam bancuhan susu formula yang mengikut sukatan biasa. -Kurangkan pengambilan susu formula. Boleh gantikan dengan puting atau susu lembu asli (tanpa gula) jika si ibu sudah tiada susu badan. -Jika anak masih meragam,

boleh terus beri susu formula tetapi lebihkan air untuk seimbangkan kandungan gula. -Kawal pengambilan gula anak di antara waktu makan. -Nasihat doktor, satu-satunya cecair yang selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak adalah air putih kerana ianya neutral tanpa gula atau perisa.

GIGI ROSAK PUNCA ANAK LEMBAB BERCAKAP

Apabila anak minum susu ketika hendak tidur, pengaliran air liur ketika itu sangat kurang seterusnya menggalakkan cecair bergula itu tadi berlegar di dalam mulut (sekitar gigi dan gusi) untuk jangka masa lama. Jika perkara itu dibiarkan tanpa pemantauan mahupun anak dibiarkan tidak memberus gigi, hal akan menjadi lebih parah -menyebabkan kesakitan dan jangkitan.

Sumber : DeltaDental

Risau Masalah Gigi Anak Reput, Pakar Pergigian Ini Kongsi Tips Buat Wawa Zainal & Ibubapa

Siapa yang tidak mengenali pasangan selebriti terkenal Ariel Zafril dan Wawa Zainal kan? Mereka sudah mempunyai dua cahaya mata yang cantik dan comel sekali. Sebelum ini Wawa Zainal ada berkongsi di laman media sosial bahawa anaknya, Fakhruddin pernah dicabut semua gigi susunya kerana telah rosak.

Bukan itu sahaja, anak keduanya pula menghadapi perkara yang sama dimana gigi anak perempuannya Hayla, semakin reput. Jadi, jom kita ikuti sedikit tips dan perkongsian dari pakar pergigian ini tentang cara untuk menjaga kekuatan gigi anak-anak.

TIPS PENJAGAAN GIGI BUAT SEMUA IBUBAPA

Handsome Fakhruddin, cantiknya Hayla. Maklumlah ibu bapa mereka juga sama handsome sama cantik. Saya baru tahu Ahmad Fakhruddin Attar pernah dicabut semua gigi susunya kerana telah rosak. Baiklah. Beginilah. Saya kongsikan kepada Wawa Zainal/Ariel Zafril dan semua ibu bapa langkah-langkah terbaik untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum untuk anak masing-masing.

1. JANGAN BIARKAN ANAK TERTIDUR DENGAN BOTOL MENGANDUNGI SUSU ATAU AIR MANISAN. Walaupun anak sudah tidur dan tidak menghisap lagi, susu tetap akan menitik dan menyebabkan bertakung di dalam mulut. Pengumpulan susu ini boleh merosakkan gigi.

2. BERSIHKAN MULUT ANAK 2 KALI SEHARI SEPERTI MANA KITA MENGGOSOK GIGI. Gunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi. Bagi anak yang sudah mempunyai banyak gigi susu, boleh bertukar kepada berus gigi kanak-kanak atau gunakan ‘finger toothbrush’.

3. PERLAHAN-LAHAN PERKENALKAN PENGGUNAAN UBAT GIGI.

Anak kecil sudah boleh gunakan ubat gigi mengandungi flourida. Pastikan yang dibeli adalah untuk kanak-kanak. Cuma letakkan ubat gigi dengan saiz sebiji beras. Ia akan lebih mudah dibersihkan dan tidak takut ditelan oleh anak kerana kuantiti yang sangat sedikit.

4. GOSOK GIGI SENDIRI. Anak yang sudah besar sikit (2-3 tahun), pastikan jangan dibiarkan mereka gosok gigi sendiri. Pastikan ibu bapa menolong mereka menggosok gigi. 5. KURANGKAN PENGGUNAAN BOTOL SUSU SECARA BERPERINGKAT. Galakkan minum menggunakan cawan, ‘sippy cup’ atau sudu seawal usianya 6 bulan.

6. BILAS MULUT BAYI ANDA. Ini untuk menggalakkan meminum air kosong selepas menghabiskan susu atau hidangan ‘solid food’. 7. ELAKKAN MEMASUKKAN GULA KE DALAM SUSU BAYI ANDA. Malah, elakkan menggantikan dengan apa-apa jenis minuman manis ke dalam botol susu.

8. JIKA ANAK MENANGIS SEMASA MEMBERSIHKAN GIGI, KENTALKAN JIWA, CEKALKAN HATI. Biarlah mereka menangis seketika itu. Ia tidak akan membawa trauma sepanjang hayat hanya semata-mata membersihkan gigi. 9. BAWALAH ANAK MASING-MASING UNTUK PEMERIKSAAN GIGI SEAWAL GIGI PERTAMA TUMBUH.

Kemudian, disusuli pula dengan setiap enam bulan sekali. Pada masa inilah ibu bapa boleh menilai dan muhasabah adakah penjagaan gigi anak selama ini betul dan berkesan. *Semoga bermanfaat buat Wawa Zainal dan Airel Zafril serta ibu bapa lain. Bantu saya sebarkan agar semua boleh dapat membaca dan berkongsi kebaikan ini. Terima kasih.

Sumber : Iqbal Rosali, Wawa Zainal

Author: fafa