Kanak2 kurang upaya ini sanggup merangkak untuk ke sekolah sejauh 3 km setiap hari

Kecekalan kanak-kanak ini untuk menuntut ilmu wajar diberi pujian. Jika anda mahu mengalah dengan kehidupan yang susah, mungkin secebis kisah ini mampu dijadikan inspirasi dan ikhtibar untuk jangan sesekali berputus asa. Mukhlis Abdul Kholik, 8, dilahirkan dalam keadaan kurang upaya iaitu mengalami masalah dari segi fizikal pada kaki hingga perlu

bergantung kepada kedua tangannya untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain. Namun, ia bukan menjadi penghalang buat anak cekal yang mesra digelar Adul ini untuk merangkak setiap hari sejauh 3 kilometer (km) menggunakan tangan dan kakinya, meredah hutan, melalui kawasan berbatu dan anak tangga demi menuntut ilmu.

Tinggal di kawasan pedalaman di daerah kota Sukabumi di provinsi Jawa Barat, Indonesia, tiada pengangkutan bas yang disediakan untuk kanak-kanak ke sekolah. Ditambah dengan kesusahan hidup, pilihan yang ada untuk mereka hanyalah berjalan kaki.

Tetapi, bagi Adul perjalanan itu pastinya lebih perit lagi kerana dia tidak ‘sempurna’ seperti kanak-kanak lain. Sebak apabila melihat menerusi video, Adul bangun seawal pagi dengan penuh semangat untuk menimba ilmu. Kelihatan anak ini kemas rapi disiapkan oleh ibunya.

Sebelum memulakan perjalanan, dia memakai kasut sekolah di kedua kakinya terlebih dahulu manakala tangannya pula disarungkan selipar bagi memudahkan dia bergerak. Ditemani rakan-rakan sebaya ke sekolah, Adul gigih bersemangat mengharungi perjalanan tanpa mengeluh keletihan.

Anak ini sememangnya tidak sempurna, tapi dia dilahirkan dengan hati dan jiwa yang kental. Salah seorang gurunya memberitahu, Adul adalah murid mereka yang paling bermotivasi dan sentiasa belajar bersungguh-sungguh untuk bersaing dengan rakan sekelasnya termasuk melakukan aktiviti bersama.

Pengetua sekolah, Epi Mulyadi, berkata, ”Adul sangat aktif setiap hari, meskipun terbatas dari segi fizikal.” Salah satu impian Adul adalah untuk bertemu Presiden Indonesia, Joko Widowo atau lebih dikenali sebagai Jokowi. Impiannya menjadi kenyataan isnin lalu pada

Hari Kebangsaan Orang Kurang Upaya. Buat Adul, teruskan melangkah lebih lagi, ternyata anda bukti kekurangan dan kesusahan bukan penghalang setiap manusia untuk terus berjuang dan berusaha dalam hidup. Moga kejayaan milik anda!

Sumber: SIAKAP KELI

Pekerja Orang Kurang Upaya lebih bagus daripada individu normal, kata penyelia

KUALA LUMPUR: Ketika ahli Parlimen dan wartawan membanjiri Parlimen untuk sesi pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri akhir bulan lalu, beberapa individu berbaju seragam merah bertungkus lumus menjaga kebersihan lantai dan tandas di sekitar Dewan Rakyat.

Muhammad Md Noor, 29, ditugaskan menjaga kebersihan dalam bangunan Parlimen, termasuk tandas sejak 5 bulan lalu. Dari luaran, Muhammad sama dengan individu lain, tetapi anak jati Kelantan itu sebenarnya dilahirkan bisu dan pekak.

Beliau bersama 8 orang kelainan upaya (Orang Kurang Upaya) lain antara 20 pekerja kontrak pembersihan yang bertanggungjawab menjaga kebersihan keseluruhan kawasan Parlimen. Muhammad akan memulakan tugas seawal 7.30 pagi hingga 4.30 petang dari Isnin hingga Sabtu dengan

bayaran RM1,300 sebulan tanpa kerja lebih masa. Penyelianya, Muhammad Shazuli Zaini, 28, senang bekerja dengan Orang Kurang Upaya di bawah seliaannya kerana mereka rajin dan tidak banyak kerenah. “Memang mereka kalau bekerja lebih bagus daripada individu normal,

walaupun bermasalah untuk berkomunikasi tetapi taklah serumit yang kita sangka,” katanya kepada FMT. Beliau mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan tugasnya menyelaras dan berkomunikasi dengan pekerjanya. “Memang saya kena belajar bahasa isyarat, tapi dalam 10 pekerja

Orang Kurang Upaya, kita akan lantik 1 ketua mewakili mereka dan kita akan beri arahan kepada ketua mereka.” Selain Orang kurang upaya, katanya, syarikat pembersihan tempat beliau bekerja turut menerima warga emas.

“Kita ada juga ambil remaja bekerja, tetapi mereka kerja tidak lama kemudian berhenti. Datang kerja 2, 3 hari kemudian tidak datang langsung. “Kalau macam mereka (Orang Kurang Upaya) ini rajin, memang ada yang berhenti, tetapi kemudian mereka mohon kerja semula.”

Selain bangunan Parlimen, syarikatnya turut menghantar pekerja Kurang Upaya ke Menara TM di Jalan Pantai Baru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). “Di Parlimen paling ramai, hampir 10 orang, 2 daripada mereka perempuan.

Tempat lain ada 1 atau 2 orang sahaja.” Katanya, pihak pengurusan Parlimen meminta syarikat itu mengekalkan pekerja OKU sedia ada di sana. “Mereka di bawah kontrak kontraktor lama, tapi bila syarikat saya dapat tender pembersihan, Parlimen sendiri minta mereka dikekalkan.”

Ketika ditanya sama ada beliau selesa bekerja di Parlimen, Muhammad menunjukkan isyarat “bagus”. Selepas selesai wawancara, Muhammad terus menyambung kerjanya dengan membawa bersama baldi dan mop. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal

ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak pengurusan Parlimen sememangnya menerima pekerja seperti Muhammad. “Boleh…kita terima siapa sahaja yang mahu kerja di Parlimen,” katanya kepada FMT.

Author: fafa