Kelibat Dinosaur berjaya dirakam oleh seorang individu di kamera telefon bimbitnya.

SEORANG wanita percaya bahawa dia telah melihat raksasa Loch Ness dalam rakaman yang diambil menggunakan sebuah kamera penstriman langsung. Kelibat haiwan mistik Scotland muncul semula selepas Caroline Barnett, 42, melihatnya di internet.

Perunding perniagaan dari Farmborough, berhampiran Bath telah menonton kamera web Loch Ness pada pukul 10.20 pagi Rabu ketika dia menyedari ada sesuatu yang bergerak di dalam air. Dia memberitahu Daily Record: “Ia turun dan naik berulang kali.

Ia melakukan deburan di permukaan air. “Saiznya agak besar seperti sebuah bot, tetapi sukar untuk mengenal pasti makhluk tersebut kerana ia adalah sisi lain Loch itu. “Saya pernah ke Loch Ness beberapa tahun lalu, tetapi tak pernah nampak haiwan tersebut.

“Saya tidak tahu sama ada saya mempercayai kewujudan haiwan mistik itu, tapi ini tentunya hadiah Krismas dan agak mengejutkan. “Saya merakam beberapa video tetapi telefon saya kehabisan bateri. Saya tidak tahu apakah ia, sukar dijelaskan.” Pakar telah menerima rakaman tersebut. “Pada mulanya, dia menyangka ia adalah bot,

tetapi objek itu nampak seperti seekor haiwan dan kemudian hilang di dalam air sebelum timbul semula. “Warnanya hitam dan berada dekat dengan pesisir loch,” kata kata jururekod Pendaftaran Rasmi Jelmaan Raksasa Loch Ness, Gary Campbell. Kemunculan raksasa itu dikatakan sudah kali ke-13 dilihat pada tahun ini.

Sumber: mStar

Penemuan terbesar fosil dinosaur di Malaysia

KUALA TERENGGANU 16 Nov. – Penemuan terbesar fosil haiwan prasejarah dinosaur di negeri ini oleh 17 penyelidik Jabatan Mineral dan Geosains serta Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) pada bulan lalu membuka dimensi baharu dalam dunia penyelidikan ilmu geologi serta paleontologi.

Perkembangan tersebut cukup bermakna kerana fosil yang ditemui menerusi Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 di sekitar Sungai Chichir, Gunung Gagau, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu itu adalah lebih lengkap berbanding penemuan di negeri lain sebelum ini apabila

menjumpai dua gigi, empat tulang dan beberapa kesan tapak kaki dinosaur. Turut ditemui dalam ekspedisi yang disertai pensyarah dan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Kelantan

(UMK) bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada 13 hingga 23 Oktober itu adalah fosil tumbuhan, kayu terpetri serta singkapan batu arang di Sungai Pertang.

Fosil gigi berukuran kira-kira 1.5 sentimeter yang ditemui dalam bongkah batuan konglomerat itu dipercayai milik spesies Iguanadon, dinosaur jenis herbivor iaitu pemakan tumbuh-tumbuhan. Kesan tapak kaki yang panjangnya 15 sentimeter di atas bongkah pasir pula,

selain milik Iguanadon dipercayai turut menjadi milik dinosaur daripada keluarga Theropod dan Sauropod. Bagaimanapun, fosil tulang dalam singkapan batu pasir pebel di sungai tersebut masih belum dapat dipastikan. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata,

penemuan tersebut akan memberi kekuatan dan nilai tambah ke arah merealisasikan usaha kerajaan negeri agar Tasik Kenyir diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan, seterusnya Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Alhamdulillah setelah penat me­redah hutan dan mendaki gunung dalam keadaan cuaca tidak menentu, akhirnya mereka membuat penemuan yang menggembirakan menjumpai fosil gigi, tulang dan kesan tapak kaki di sekitar Sungai Chichir,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Jaba­tan Mineral dan Geosains, Datuk Yunus Abdul Razak. Menurut Yunus, kajian lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti spesies haiwan yang lenyap beratus juta tahun lalu itu. Katanya, kejaya­an itu terus memberi rangsangan kepada ahli kaji bumi

untuk melakukan usaha pencarian kerana negara ini mempunyai beberapa tempat batuan berusia Jura Kapur antara 65 juta dan 203 juta tahun yang sesuai untuk haiwan itu hidup di sini. “Dari hari pertama ekspedisi di Sungai Chichir lagi kita sudah menjumpai fosil, bagaimanapun penemuan

itu tidak cukup kuat kerana tapak kaki serta gigi dinosaur pada bongkah batu itu mungkin jatuh atau dihanyutkan dari hulu sungai tetapi apabila menjumpai fosil dalam singkapan batuan di situ, sekali gus kita yakin kawasan itu merupakan lokasi kewujudan haiwan berkenaan,” katanya.

Awal tahun ini, Jabatan Mineral dan Geosains mendedahkan penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 dan 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut yang membawa kemungkinan kewujudan haiwan berkenaan.

Penemuan terbesar fosil dinosaur di Malaysia

GUA MUSANG: Pasukan penyelidik Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa Taman Negara Kuala Koh, di sini, mungkin pernah didiami dinosaur ratusan juta tahun lalu. Ketua Jabatan Geobumi, FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar,

berkata ia berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap struktur batu di kawasan itu. Katanya, jenis batuan yang dijumpai di situ sama seperti di sekitar Sungai Cicir, Gunung Gagau dan Tasik Kenyir di Terengganu yang pernah menjadi tempat penemuan fosil dinosaur.

“Kita akan meneruskan kajian di Taman Negara dan kawasan sekitar hutan di Gua Musang bagi membuktikan kewujudan itu. Daripada perbincangan kami di UMK, kami percaya kawasan terbabit mempunyai kemungkinan tinggi untuk menjumpai spesis Theropod dan Sauropod.

“Selain itu, kawasan ini juga terletak hanya 60 kilometer (km) dari Sungai Cicir, Kuala Berang, Terengganu yang pernah menjadi tempat sekumpulan pengkaji menemui fosil seperti gigi dan tapak kaki dinosaur jenis itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Arham berkata kewujudan haiwan purba itu perlu kepada penyelidikan lebih teliti pelbagai pihak antaranya Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Jabatan Perhutanan. “Kita belum menjumpai sebarang fosil mengenainya namun tidak menolak kemungkinan ia wujud

di hulu negeri ini berikutan ia turut dilaporkan wujud di Gunung Gagau, Hulu Terengganu tidak jauh dari Taman Negara Kuala Koh tiga tahun lalu. “Saya berharap akan ada inisiatif pihak lain untuk meneruskan penyelidikan ini kerana jika fosil itu dapat ditemui, satu sejarah baharu dapat dilakarkan seterusnya Taman Negara Kuala Koh boleh menjadi tumpuan dunia,” katanya.

Tiga tahun lalu, 17 penyelidik Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Terengganu serta Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) berjaya menemui dua gigi, empat tulang dan beberapa kesan tapak kaki dinosaur di beberapa tempat di Hulu Terengganu. Penemuan terbabit membuka dimensi baharu dalam dunia penyelidikan ilmu geologi dan paleontologi.

Sumber : Bharian

Author: fafa