Ketahuilah tanggung jawab ibu bapa besar dalam mendidik ank. Ibu bapa sepatutnya jangan wajibkan benda yang belum wajib pada ank.

Pun begitu, sering terjadi kita tanpa sedar menjatuhkan hukum wajib pada perkara yang masih belum ditetapkan ke atas mereka. Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh penceramah bebas Ustaz Firdaus Wong ini. Semoga ia sedikit sebanyak memberi manfaat untuk kita semua. Ini perkongsiannya.

Jangan diwajibkan benda yang belum wajib kepada kanak-kanak. Ada tahap dan caranya mendidik mereka. Adakalanya kita tersilap mewajibkan amalan dalam islam yang belum lagi wajib bagi kanak-kanak dan mewajibkan perkara yang sunat sehingga kanak-kanak mereka penat serta merasakan Islam menyusahkan.

Islam tidak menyusahkan tetapi cara kita yang tidak selari dengan ajaran Islam yang menampakkan Islam itu susah di mata mereka. Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam menyebut kanak-kanak diajak solat pada usia 7 tahun dan 10 tahun diwajibkan mereka solat dan andai tidak solat maka boleh kita sebagai Ibu Bapa menghukum mereka secara ringan tanpa mnengasari atau menyakitkan tetapi sebagai peringatan.

Selama 3 tahun kita perlu mengajak dan mendidik mereka secara konsisten. Selama tiga tahun itulah solat belum wajib untuk mereka. Andai mereka solat satu waktu atau dua waktu, berikan pujian kepada mereka. Jangan pula waktu itu kita memaksa mereka buat solat sunat tetapi berikan pilihan buat mereka.

Dahulukan mendidik mereka mengenal Allah, sayangnya Allah kepada mereka dan bagaimana mereka perku menyayangi Allah dan RasulNya. Andai mereka lapar dan mengantuk, berikan mereka makan dan tidur sebelum beribadah pada usia itu. Jangan dipaksa solat dalam mereka masih lapar dan mengantuk.

Ajak dengan kasih sayang dan lemah lembut bukan ugutan dan kekerasan kerana cara kita yang kasar itu akan membentuk imej Islam yang kasar pada mereka. Mereka belum lagi kenal Islam pada Quran & Sunnah tetapi bagi mereka, Ibu Bapa mereka adalah Islam dan apa yang ditunjuk dan diungkapkan oleh Ibu Bapa itulah ajaran Islam bagi mereka.

Anak ialah amanah dan juga tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan. Carilah ilmu bagaimana Allah mengajar kita mendidik anak-anak dalam kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya serta kisah Luqman Al-Hakim dalam surah Luqman. Hadirlah kelas tarbiyatul aulad, bagaimana Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam mendidik kanak-kanak dan melayan kanak-kanak.

Jom jadi Ibu Bapa yang berilmu sesuai dengan ajaran Islam menurut Al-Quran & Sunnah. Melahirkan anak adalah mudah tetapi mendidik anak sesuai dengan ajaran Islam itu cabaran yang perlu diharungi sebagai IbuBapa.

sumber : Firdaus Wong Wai Hung

Author: Editor