Kucing comel ini menunggu di depan pintu sebab nak hadiahkan nasi bungkus.

Majoriti manusia sangat sukakan haiwan dan sanggup memelihara haiwan seperti kucing, burung, arnab mahupun anjing. Hal ini demikian kerana memelihara haiwan di rumah mampu membuatkan suasana menjadi lebih ceria dan tidak lagi sunyi. Kucing misalnya merupakan haiwan yang disayangi ramai kerana rupanya yang comel,

keletahnya yang lincah, jinak serta manja! Baru-baru ini, seorang netizen dikenali sebagai Effy telah mengongsikan satu kisah menarik tentang seekor kucing jalanan yang dipeliharanya. Menurut Effy, kucing betina berbulu jingga yang dinamakan sebagai Mama itu seringkali membawa pulang ‘hadiah’ istimewa ke rumah.

Namun kali ini, hadiah yang dibawa oleh Mama membuatkan kucing ini menjadi bintang sensasi internet setelah rata-rata netizen amat terhibur dengan gelagat si Mama yang comel ini.

Tweet berkenaan mengundang pelbagai reaksi melucukan daripada netizen. Ada yang berpendapat kucing tersebut sebagai pembawa rezeki dan ada juga yang membuat jenaka lucu mengenainya.

Dalam tweet tersebut, Effy yang menjalankan perniagaan ‘hotel kucing’ bernama Whims Cat Emporium di Kuantan ada menyebut tentang hasratnya untuk memberikan vaksin, mendandan dan memandulkan Mama. Bagaimanapun, Effy tidak mempunyai bajet yang mencukupi.

Ekoran itu, ada seorang pengguna Twitter yang baik hati telah menawarkan bantuan untuk menanggung segala kos perbelanjaan bagi memberikan vaksin kepada Mama. Malah, netizen itu turut menyatakan niatnya adalah bagi tujuan bersedekah kepada kucing jalanan memandangkan dia bakal berkahwin tidak lama lagi.

Semoga Effy mendapat rezeki yang melimpah ruah kerana sanggup menjaga dan memelihara kucing jalanan seperti Mama. Bagi anda yang ingin bercuti tetapi tidak tahu di mana mahu meletakkan kucing anda agar terjaga dengan baik, boleh dapatkan perkhidmatan hotel kucing milik Effy.

Sumber: ERA BARU

Lelaki Menjadi Bidan Ketika Menyambut Kelahiran 10 Ekor Kucing

HAIWAN peliharaan bukan sahaja menjadi pendamping kepada pemilik, malah ia kadang kala dianggap seperti ahli keluarga sendiri. Manakan tidak, setelah seharian keluar bekerja, segala kepenatan bagaikan lenyap tatkala si comel menyambut kepulangan anda.

Di laman Twitter misalnya, tular kisah seekor kucing unik bernama Max yang hanya memiliki dua kaki. Malah, keletah serta kecomelan Max pantas menarik perhatian ramai sehingga posting mengenainya menerima hampir 16,000 ulang kicau (retweet). Pemilik kepada haiwan comel berkenaan, Muhammad Nur Hizami Abd Rahim berkata,

dia sama sekali tidak menyangka Max mampu hidup dan bertahan sehingga hari ini. Jejaka berusia 30 tahun itu ketika dihubungi mStar Online turut berkongsi kisah kelakar tapi mendebarkan ketika dia menjadi ‘bidan’ menyambut kelahiran 10 ekor anak kucing dan saat pertama kali menyedari keadaan Max yang hanya memiliki dua kaki, sekitar enam bulan lalu.

“Mula-mula mak dia beranak, saya terkejut sebab keluar 10 ekor. Lepas tu tali pusat berbelit, saya terpaksa gunting sendiri. “Saya tengok kaki belakang Max tak ada, terus rasa takut sebab ingatkan saya tersilap gunting kaki dia, rupanya memang tak ada kaki,” ujarnya pada Khamis.

Hizami yang menetap di Alor Gajah, Melaka berkata, Max pada mulanya mengalami kesukaran gara-gara kekurangan dirinya. Namun, dia kini mampu membuang air sendiri serta boleh bergerak bebas sehingga mampu memanjat dinding yang tinggi. “Sekarang dia dah boleh jaga diri sendiri.

Tapi kadang-kadang saya seram bila tengok dia memanjat pakai dua kaki sahaja. “Dari segi keletah pula, dia memang manja, tapi kadang-kadang suka menyorok, pemalu pun ada. “Saya anggap Max ni seperti pembawa rezeki. Tak sangka ramai orang suka sehingga viral macam ni,” katanya lagi.

Dalam pada itu, populariti yang diraih Max di laman Twitter turut memberi ilham kepada Hizami untuk membuka akaun Instagram khusus untuknya, atas permintaan ramai. Akaun maxx.purr itu mula dibuka pada Rabu dan sudah pun mengumpul lebih 200 pengikut dalam tempoh kurang 24 jam.

Jelas Hizami lagi, dia enggan menyerahkan Max biarpun ada yang berminat untuk membelanya kerana gusar mereka tidak mampu menjaga si bulus comel itu dengan baik. “Sekarang ni saya jaga tiga ekor je, tapi memang sayang dia lebih sikit berbanding yang lain. “Saya risau kalau orang lain bela, mereka tak boleh nak jaga betul-betul, ditambah dengan kekurangannya yang hanya ada dua kaki,” jelasnya lagi.

Sumber: mStar

Kerajaan Mengharamkan Penjualan Anak Kucing Di UK

Semua kedai haiwan di United Kingdom bakal diharamkan daripada menjual anak kucing dan anjing bagi mengekang orang awam ‘menternak’ kedua-dua haiwan tersebut. Selain itu, peraturan yang sama turut berkuatkuasa untuk pihak ketiga yang menjual kucing dan anjing di bawah usia 6 bulan.

Ini bermakna, orang ramai yang berminat untuk membeli kucing atau anjing di bawah usia tersebut perlu berurusan secara terus dengan pusat pembiakkan berdaftar. Penguatkuasaan peraturan baru ini diumumkan oleh Department of Environment Food and Rural Affairs (Defra) hasil

keputusan tinjauan yang dibuat dimana lebih 95 peratus orang awam menyokong pengharaman tersebut. Oktober lepas, UK juga mengeluarkan arahan untuk mengharamkan pengeluaran lesen kepada pusat-pusat pembiakkan yang menjual anak kucing dan anak anjing di bawah usia 8 minggu.

Jurucakap kementerian berhubung kebajikan haiwan, David Rutley dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk ‘membenarkan setiap haiwan memulakan hidup yang sempurna daripada kecil’. ”Saya menggesa semua orang ramai supaya tidak membeli anak kucing ataupun anak anjing. Haiwan perliharaan sudah menjadi sebahagian daripada keluarga kira buat sekian lama,” katanya.

Sumber: SIAKAP KELI

Author: fafa