Michael Ang melafazkan bacaan dan surah solat fardu dalam bahasa Inggeris

SELEPAS lebih setahun memeluk Islam, pengarah Michael Ang mengakui dia melafazkan bacaan dan surah solat fardu dalam bahasa Inggeris kerana mengalami kesukaran untuk membacanya dalam bahasa Arab. Michael berkata, jika mahu menunaikan solat dalam bahasa Arab,

dia perlu meletakkan tele panduan solat di depan bagi memudahkannya. “Saya cuba untuk membaca surah dalam bahasa Arab, tetapi lidah sukar untuk menyebutnya. Nak bertutur dalam bahasa Malaysia pun susah, inikan pula dalam bahasa Arab,” katanya.

Katanya, walaupun belum mahir untuk membaca surah, dia tetap menjalankan kewajipannya sebagai umat Islam. “Bagi memastikan melaksanakan ibadat wajib, saya melakukannya dalam bahasa Inggeris. Sebelum ini juga saya berdepan kesukaran untuk sujud ketika solat

kerana mengalami masalah berat badan, tapi selepas badan semakin susut, saya lebih selesa,” katanya. Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, seseorang mualaf dibenarkan melafazkan bacaan solat dalam bahasa Inggeris ketika awal penghijrahan.

“Bagaimanapun bagi seorang mualaf wajib baginya untuk belajar dan menimba ilmu cara solat yang sah termasuklah melafazkan bacaan mengikut surah dan tertib,” katanya. PENGARAH drama popular, Michael Ang, 43, mendedahkan sudah lebih setahun memeluk Islam.

Pengumuman itu disampaikan sendiri menerusi laman sosial Instagram dan YouTube hari ini. “Alhamdulillah sudah lebih setahun saya bergelar Muslim dan sudah sedia memberitahu semua mengenai perkara ini. “Sejujurnya, selama mendalami Islam,

masih ada banyak perkara yang saya harus pelajari,” katanya. Katanya, untuk mula menunaikan solat Jumaat rasanya lebih baik dia berterus-terang daripada masyarakat melihat dia ke masjid lalu diperkatakan orang. Michael juga tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana percaya

keputusan dibuatnya antara dirinya dan Allah. “Doakan saja saya kekal di jalan ini dan mengalukan segala tunjuk ajar. Semoga kita semua menjadi yang terbaik di mata Allah,” katanya. Katanya, dia masih mengekalkan nama asal Michael Ang Hai Swee biarpun sudah memeluk Islam.

Terdahulu, timbul khabar angin mengatakan dia sudah bergelar mualaf sejak mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu. Malah beberapa foto Michael bersama pendakwah berbangsa Cina, Ustaz Firdaus Wong dan Ustaz Sheikh Hussain Yee selain sekeping kad perakuan Islam, tular di media sosial sebelum ini.

SUSULAN teguran dibuat komposer dan penyanyi kumpulan VE, Damian Mikhail kepada Michael Ang, pengarah itu tampil memohon maaf. “Apa yang berlaku, saya ambil sebagai satu ujian atas keterlanjuran kata-kata. Kepada yang komen menghina dan negatif tetapi saya sudah padamkan , saya sudah maafkan.

“Sekali lagi saya minta maaf! Tidak terdetik pun di hati untuk menghina sesiapa. Masih tak percaya, terpulanglah!” tulis Michael di laman sosial Instagramnya, hari ini. Selain itu, Michael turut memuat naik video pendek menyatakan permohonan maaf yang sama, lewat malam tadi.

Susulan tindakan permohonan maaf itu, Damian meminta peminat dan netizen agar tidak lagi mengecam pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu. PENGARAH Michael Ang dan status yang dimuat naik di akaun Instagramnya . Sebelum ini, Damian menyelar tindakan pengarah popular,

Michael Ang yang dikatakan mempersendakan Islam dalam video tular terbaru dimuat naik di laman Youtube. Dia juga berdoa semoga Michael dikurniakan hidayah dan sudi membimbing sekiranya Michael mahukan bantuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai keindahan Islam pada masa depan.

Sebelum ini, pengarah popular itu memuat naik video komen berkaitan isu pelancaran tudung terbaru Neelofa di sebuah pusat hiburan, baru-baru ini. Di dalam komen itu, dalam nada sinis, Michael mendakwa, mungkin tiada masalah jika dia mahu sewa pusat hiburan itu untuk mengadakan majlis tahlil selepas ini.

Author: fafa