Panaskan enjin kenderaan waktu pagi hanya sekadar mitos, jelas pakar bidang enjin automotif

Tak pasti ramai atau tak yang dah tahu tentang tabiat memanaskan enjin kenderaan setiap pagi sebelum digerakkan. Ada yang panaskan enjin tidak mengikut piawaian masa yang sepatutnya, contohnya lebih daripada 3 MINIT. Persoalannya sekarang kenapa kita terbiasakan dengan tabiat tersebut walhal sebenarnya ia hanya mendatangkan keburukan kepada kondisi enjin?

Jepun , United Kingdom dan di Amerika Syarikat antara negara-negara yang menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idling (tanpa bergerak) melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah? The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya.

Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Untuk bercerita lebih lagi tentang sebab dan musababnya, mungkin korang semua boleh baca perkongsian daripada pakar bidang permotoran, saudara Irwan Sanei seperti bawah ini yang menjelaskan persoalan diatas.

Enjin kena warm-up ka?

Dulu sewaktu di Jepun, apabila tiba musim sejuk di antara bulan 12 hingga 2, memang malas ke kelas. Nak naik motor sejuk bontot. Handle pun sejuk. Bila jalan kena angin, pun sejuk walaupun pakai full leather suit dengan jaket snow board. Bila stop, buka glove, pegang ekzos pipe, bessss. Tak sempat maintain panas, dah sejuk balik. Maka, menjadi rutin, sebelum naik motor, panaskan enjin dulu. Suatu hari, saya disekolahkan oleh mekanik motor saya, ex-racer dan jurutera enjin pakar ICE (internal combustion engine).

Awat hang idle enjin motor hang lama sangat Iwan? (Dia cakap Jepun, saya translate ke Bahasa Kedah supaya hangpa paham hehehe). Saya pun jawab poyo macam pandai guna common sense saya; ya la Ueno-San, enjin sejuk kot?? Sat gi padam enjin la plak. Dia jawab, jangan idle lebih daripada 30-saat. Tak kira kondisi musim sejuk atau panas. Enjin kontinental atau Jepun. Enjin direka untuk bergerak. Apabila enjin dan minyak enjin sejuk, sistem pembakaran akan banyakkan minyak supaya pembakaran rich.

Kalau kekal idle, minyak tadi akan meleleh di dalam keadaan cecair ke dalam silinder merosakkan piston, dinding silinder dan blok enjin. Jika keadaan stoichometric, minyak akan menjadi wap di combustion chamber bercampur udara dan spark, lalu dikompres piston untuk menukar energi haba ke energi kinetik. Habis tu, steering fluid, minyak gearbox dan pelincir moving parts masih sejuk, ok ka berjalan?

Ueno-san respon; jika dibiarkan idle tanpa kita guna steering dan gear, minyak akan kekal berada di sum masing-masing tanpa diedarkan ke gear-gear moving parts. Tak ada maknanya. Maka katanya, idle jangan melebihi 30-saat. Enjin moden ada autochoke yang akan rich-kan campuran fuel dan apabila kita bergerak, ia akan selaras automotik ke idling sesuai. Untuk minit 1 hingga 15, jangan kasar dengan throttle. Bawa beradab. Santuni enjin, gearbox dan differential. Bawa slow, TETAPI HARUS BERGERAK.

Baru saya faham bahawa takrif warm-up enjin di dalam mode parking itu tak wujud. Tak digalakkan. Saya rasa ramai orang tak tahu atau ada maklumat songsang tentang isu ini kan? Lalu kita pun amalkan ajaran sesat-permotoran semenjak kereta pertama kita sedangkan amalan macam ni memang salah. Pada tahun 1999, kereta 4 pintu pertama saya selepas DC2R 98-Spec dan sebelum Evo6 RS adalah E39 BMW 525i.

Di manualnya jelas tertulis : do not leave your car engine in idle condition for more than 40 seconds. Ini rahsia supaya enjin, transmisi dan segala moving parts tahan lama. Saya harap informasi radikal ini walaupun akan mencipta kontroversi, mampu membantu anda memanjangkan hayat K20A, 4AG-E, B18C, B16B, RB26DETT, 13B-REW, SR20DET, M54, S65B44 ataupun M156 AMG anda.

Nota : idling enjin di dalam keadaan kereta berhenti tidak bergerak hendaklah dielakkan, jika mampu. Idling di dalam situasi apapun memendekkan hayat enjin dan menggunakan bahan bakar yang banyak. Membazir minyak (dibaca : fuel).Maka, cuba pendekkan tempoh warm-up (dibaca : memanaskan enjin) di dalam mode parking.

Gerakkan kenderaan anda 30-90 saat setelah enjin dihidupkan dan biar enjin warm-up ketika bergerak. Berlembut dengan throttle.Pandu seperti biasa apabila enjin di suhu operasi optimum sekitar 98.9-darjah Celcius yang disarankan oleh SAE (Society of Automotive Engineers).

Sumber: Siakapkeli

Artikel lain : 5 tabiat buruk yang boleh merosakkan transmisi automatik kereta

BAGI sesetengah orang, memandu memang susah pada awalnya, tetapi menjadi semakin mudah apabila semakin kerap memandu. Bagaimanapun, ramai pemandu tidak sedar mereka sedang terbiasa melakukan tabiat buruk yang mampu merosakkan kereta. Apabila menyentuh hal baik pulih kereta, semua orang tahu apa saja isu yang ada kaitan dengan kotak gear, gear atau transmisi memang menelan belanja mahal.

Pastinya anda mahu lakukan sesuatu yang terbaik untuk melindungi bahagian kereta paling penting itu ataupun rela merana dengan jumlah bil tidak masuk akal. Tahukah anda apakah tabiat memandu yang boleh menjahanamkan transmisi kereta? Mungkin anda boleh terus buat apa yang sudah biasa anda lakukan sambil menganggap tiada apa pun berlaku selama ini. Tetapi sekali terkena, menyesal pun tiada gunanya lagi.

1. TURUN BUKIT DALAM GEAR ‘N’

Anda mungkin menggunakan posisi gear N ketika memandu menuruni bukit pada situasi tertentu, dan ramai pemandu tidak sedar mereka sedang melakukan aksi bahaya. Dengan harapan dapat mengurangkan kos bahan api, pemandu biasanya akan membiarkan kereta mereka meluncur menuruni bukit tanpa perlu memijak pedal minyak. Tetapi, tahukah anda cara itu boleh memburukkan kondisi transmisi kenderaan, terutama apabila anda tiba-tiba memasukkan gear ketika kereta sedang bergerak laju?

Di beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS), tabiat tersebut dianggap sebagai kesalahan dan boleh dikompaun kerana boleh mengundang bahaya. Ini kerana memandu dalam gear N ketika menuruni bukit membuatkan anda perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem brek selain menghilangkan fokus kawalan ke atas pengendalian kereta.

2. TIDAK BERHENTI SEPENUHNYA SEBELUM TUKAR GEAR

Dek mahu menjimatkan masa, gopoh atau mungkin tidak tahu, anda terus saja menukar gear daripada R kepada D, atau sebaliknya tanpa menunggu kereta berhenti terlebih dahulu. Jangan terkejut kalau ada sesetengah pemandu melakukan tabiat ini hampir setiap masa. Setiap kali menukar gear, pengapit gelung transmisi (transmission band clamp) akan berada pada gear, tetapi jika anda tidak berhenti sepenuhnya, gelung transmisi itu sendiri yang berfungsi menghentikan kereta anda.

Disebabkan ia – gelung transmisi – tidak direka untuk berfungsi seperti sistem brek, anda sedang meletakkan tekanan yang tidak diperlukan ke atas transmisi. Menggantikan gelung tidaklah mahal, tetapi kerja mendiagnosis masalah itu yang menyebabkan ia mahal kerana memakan banyak masa dan usaha. Biasakan diri membrek dan menghentikan kereta betul-betul sebelum bergerak daripada D kepada Ra atau R kepada D.

3. PECUT ALA DRAG GUNA ‘N’

Ini antara tabiat yang kerap dilakukan pemandu, iaitu memecut laju kononnya seperti seorang pelumba drag dalam posisi kereta berhenti atau gear N. Taktiknya, enjin dilahukan (rev) sehingga meter RPM mencanak naik sebelum memasukkan gear D bagi mendapatkan ekstra kuasa pecutan. Ingat, apabila anda menukar gear selepas melahukan enjin, anda sedang meletakkan tekanan ke atas gelung transmisi, dan jika konsisten memecut cara ini, bersedialah mendapat resit bil bengkel yang tinggi.

Sebenarnya, melonjakkan kelajuan kenderaan daripada posisi berhenti boleh dilakukan tanpa tekanan ke atas transmisi dan merosakkannya. Anda sepatutnya biar saja kereta dalam D. Letakkan satu kaki pada brek, manakala satu kaki lagi memijak pedal minyak. (PENTING: Jangan ambil masa terlalu lama kerana kepanasan yang dibina juga mampu merosakkan transmisi).

Angkat kaki daripada brek untuk menikmati lonjakan pecutan yang anda mahukan. Menurut Jason Fenske daripada Engineering Explained, cara begini turut mengenakan tekanan ke atas transmisi, tetapi masih alternatif yang lebih baik berbanding memecut D daripada N.

4. ‘N’ DI LAMPU ISYARAT MERAH

Dengan harga minyak semakin naik, carian dan usaha ke arah menjimatkan minyak seakan tidak pernah berakhir. Tetapi banyak perkara yang anda cuba lakukan untuk menjimatkan wang itu sebenarnya lebih cenderung mendatangkan keburukan dan masalah ke atas diri sendiri. Salah satunya ialah isu kontroversi seperti ini. Ada orang beritahu anda supaya meneutralkan gear untuk menjaga transmisi, tetapi Fenske pula berpendapat sebaliknya.

Selain cuba menjimatkan minyak, ramai pemandu percaya cara itu – letak posisi N setiap kali berhenti (DIULANGI: setiap kali) – boleh mengurangkan tekanan ke atas transmisi. Faktanya, salah! Ini kerana enjin cenderung melahu lebih tinggi dalam posisi N berbanding D. Malah berpotensi menyebabkan masalah gelincir pada plat klac (melalui proses D-N-D), sekali gus menghauskan bahagian mekanikal tersebut.

Cara begini juga tidak menunjukkan perbezaan penjimatan bahan api yang ketara. Jika betul-betul mahu jimat minyak, caranya ialah tutup terus enjin kenderaan anda di lampu isyarat. Anda sebenarnya tidak perlu pun menukar N setiap kali (DIULANGI: setiap kali) berhenti di lampu isyarat – atau ketika kesesakan – kerana proses anjakan D-N-D yang kerap itu boleh menyebabkan transmisi haus. Malah, berhenti dalam D, dengan membrek secara normal tanpa memijak pedal minyak tidak merosakkan transmisi seperti yang anda sangkakan.

5. TERUS TUKAR ‘P’ SEBELUM BERHENTI

Ia tidak ubah seperti melompat dari atas pelana kuda yang belum pun berhenti sepenuhnya. Silap haribulan, tulang anda patah. Dalam situasi kereta, jika terus menolak gear pada kedudukan P, tuas parkir (parking pawl) akan berkait untuk menghalang kenderaan daripada bergerak. Jadi, meletakkan kereta sebelum berhenti boleh menyebabkan tuas parkir bertindak seakan brek dan boleh memusnahkan semua proses.

Berusaha mengubah tabiat buruk ini mampu memberikan kesan kepada bajet kewangan anda. Jadi sila beri perhatian tentang bagaimana menukar gear dengan betul. Ada cara yang lebih baik untuk anda menghentikan kenderaan sekiranya pedal minyak tersekat – atau dalam kecemasan. Anda cuma perlu tutup enjin kenderaan dan tekan brek perlahan-lahan. Ini akan memberikan anda hasil sama yang anda harapkan tanpa merosakkan sistem transmisi.

Sumber : pandu laju

Author: pyka