Pembantu rumah ini diikat pada pokok kerana jemur perabot mahal majikan

Seorang wanita yang bekerja dengan sebuah keluarga yang kaya di Arab Saudi terpaksa menanggung malu apabila dia dihukum dengan cara yang memalukan dirinya, oleh majikan. Lovely Acosta Baruelo, 26, berasal dari Filipina itu dikatakan telah membuatkan majikannya berang kerana

menjemur perabot mahal di luar dengan cahaya matahari panas terik. 
Gambar yang dirakam rakan sekerja menunjukkan Lovely diikat pada sebatang pokok di halaman rumah keluarga terbabit pada 9 Mei lalu. 
Difahamkan, majikan mereka berbuat demikian kerana mahu

menunjukkan kepada Lovely bahawa cahaya matahari boleh menyebabkan perabotnya rosak. Rakan mangsa kemudian menghubungi Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (JHELF) untuk membantu Lovely. Bertindak atas aduan itu, JHELF telah bertindak menyelamatkan mangsa sebelum

menghantarnya pulang semula ke Filipina pada hari yang sama. Kedutaan Filipina di Riyadh berkata, kes itu telah disampaikan kepada mereka pada 9 Mei dan Lovely serta-merta diselamatkan dan kembali ke pangkuan keluarganya di La Union. 

Sementara itu, Lovely sangat berharap bekas majikannya akan mendapat balasan setimpalnya kerana menganiaya mereka selama ini. “Terima kasih kepada mereka yang membantu saya. Saya juga memohon pihak berkuasa membantu rakan sekerja saya yang masih berada di rumah bekas majikan.

“Merekalah yang membantu saya dan saya bimbang dengan kselamatan mereka. Saya sangat berharap mereka juga diselamatkan. “Kepada majikan tak guna, kamu akan mendapat balasannya. Tunggu saja. Kamu selalu potong gaji kami, inilah sebabnya kenapa kesihatan kamu tak pernah baik kerana balasan daripada perbuatan kamu,” katanya. 

Sumber: Metro

Pembantu rumah: Boleh percaya ke?

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Apa rancangan hujung minggu anda hari ini? Macam Lofa, hari ini Lofa nak duduk seharian di pejabat dan menyelesaikan beberapa hal yang tertunggak. Pasti peminat dan pembaca setia kolum ini berkata, kasihankan! Hujung minggu pun kena kerja?

Tak kisahlah macam mana cara sekalipun anda menghabiskan cuti hujung minggu anda, yang penting, lakukan perkara berfaedah. Jangan pula tidur sampai lewat petang, itu tidak produktif namanya. Rasanya dah lama Lofa tak bercerita dan berkongsi pendapat mengenai sesuatu perkara yang

berlaku terhadap orang sekeliling Lofa kan? Asyik cerita pasal diri sendiri je, kan? Baiklah, minggu ini Lofa nak cerita mengenai nasib yang menimpa teman rapat Lofa akibat terlalu mempercayai orang. Nak tahu kisahnya? Teruskan membaca Nota Neelofa sehingga ke penghujungnya.

Orang yang Lofa maksudkan adalah pembantu rumah teman baik Lofa. Tak dinafikan kehadiran pembantu rumah sedikit sebanyak meringankan bebanan kehidupan seseorang. Sekarang ini kalau kita lihat, memang kebanyakan mereka yang berkerjaya lebih selesa memilih perkhidmatan

pembantu rumah dalam membantu meringankan kerja mereka, terutama golongan ibu yang bekerja. Yalah, mana lagi dengan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, pasti kadangkala tak menang tangan si ibu nak uruskan. Syukur, dengan adanya pembantu rumah,

sekurang-kurangnya mereka boleh tolong apa yang perlu. Sampaikan ada yang terlalu menyayangi pembantu rumah dan menganggap mereka sebahagian daripada ahli keluarga. Baguslah kalau begitu, sekurang-kurangnya kita tahu pembantu rumah juga manusia biasa yang ingin rasa ‘kekitaan’ dan disayangi.

Namun, lain pula jadinya bila majikan terlampau bergantung dan percaya pada pembantu rumah. Dan inilah yang terjadi pada teman Lofa. Pembantu rumah yang selama ini disangka jujur, rupa-rupanya penuh tipu muslihat. Akibat terlalu mempercayai pembantu rumah, teman Lofa berkongsi segala cerita dan infomasi peribadi.

Lama juga si pembantu rumah itu bekerja dengan teman Lofa dan menganggapnya seperti kakak sendiri. Dijadikan cerita, satu hari apabila teman Lofa balik dari kerja, dia berasa seperti ada yang tidak kena dengan gelagat pembantu rumahnya.

Gerak hati teman Lofa pula mahu memeriksa bilik tidur pembantunya sambil mengingatkan satu dua perkara kepadanya. Teman Lofa cuba rapatkan almari yang dilihat seperti dipenuhi barang serta tidak ditutup kemas. Percaya atau tidak, teman Lofa terkejut apabila mendapati seorang

pengawal warga asing cuba bersembunyi di dalam almari bilik pembantunya. Rupa-rupanya, sudah lama mereka berhubungan dan pembantu rumahnya membawa lelaki tak dikenali masuk ke rumah. Pasti perkara seperti itu boleh mengundang pelbagai kemungkinan negatif.

Satu lagi pengalaman teman Lofa, apabila pembantu rumah ibunya mahu pulang ke Indonesia dan meminta membuat kek untuk dibawa pulang ke kampungnya. Dalam perjalanan ke lapangan terbang, pembantu terbabit baru tersedar yang dia tertinggal kek yang dibuat tadi dan meronta-ronta

untuk patah balik dan mengambilnya. Keluarga teman Lofa tidak mengikut kehendaknya sebab yang pasti dia tidak akan sempat memandangkan penerbangan sudah dijadualkan. Keesokan harinya, hendak dijadikan cerita, apabila keluarga teman Lofa makan kek yang tertinggal dengan niat

tidak mahu membazir, mereka terjumpa barang kemas yang dibakar sekali di dalam kek itu. Kreatif! Namun itulah hakikatnya bahawa mereka akan sedaya upaya mencari jalan untuk mengambil kesempatan. Pembaca pernah terbaca tak cerita sebegini? Pasti pernah, kan?

Bila terdengar luahan hati teman Lofa, pada mulanya Lofa marah kerana terlalu mempercayai pembantu rumah mereka. Yalah, sedangkan adik-beradik sedarah pun boleh menipu, inikan pula orang luar. Namun tak mengapa, nasi sudah menjadi bubur, kan? Nak menyesal pun tak guna.

Yang penting, langkah pencegahan. Di sini Lofa nak kongsi beberapa langkah yang perlu anda ikuti bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang. Tip ini juga sebagai peringatan buat diri Lofa sendiri. Pertama, jangan terlalu mempercayai orang luar.

Tidak kisah berapa lama sekalipun si pembantu rumah berkhidmat dengan anda sebagai majikan, anda masih perlu letak satu garis pemisah yang membezakan diri anda sebagai majikan dan pembantu rumah itu selaku pekerja. Tidak bermakna anda perlu garang sehingga harus menyiksa.

Cukup sekadar si pembantu sedar anda masih majikannya dan masih ada garis panduan yang perlu diikuti. Kedua, jangan sewenang-wenangnya bercerita atau beri info sulit seperti nombor akaun bank, kad bank dan salinan kad pengenalan kepada pembantu rumah.

Mungkin ada daripada anda yang terlampau sibuk sehingga terpaksa memberi tanggungjawab membayar bil kepada pembantu rumah. Jika pembantu rumah boleh diharapkan sekalipun, berilah dalam bentuk wang dan bukan kad bank. Seperkara lagi, jika pulang ke kampung halaman,

bawa pembantu rumah bersama. Jangan biar dia bersendirian di rumah. Lain pula jadinya nanti. Ketiga, sila pegang passpot pembantu rumah anda dan simpan ia di tempat yang tersembunyi. Bukan apa, tanpa pasport, pasti ia akan menyukarkan pembantu rumah untuk melarikan diri dalam apa situasi sekalipun.

Jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini sekurang-kurangnya anda ada pasport si pembantu rumah untuk dijadikan bahan bantuan siasatan. Keempat, awasi pergaulan dan aktiviti sosial pembantu rumah anda, terutama jika rumah anda ada kawasan pembinaan berhampiran.

Selalunya, pembantu rumah akan bermain cinta dengan pekerja kontrak di kawasan pembinaan itu. Sentiasa ingatkan pembantu rumah, tiada orang asing dibenarkan masuk ke rumah. Jika hendak bersosial sekalipun, lakukan di luar kawasan rumah tanpa mendedahkan selok-belok keadaan rumah.

Akhir sekali, jadilah majikan disenangi. Sentiasalah bertanya perkembangan si pembantu rumah. Tunjukkan rasa sayang anda padanya. Semuanya bermula dengan psikologi. Jika pembantu rumah rasa disayangi, insya-Allah, dia akan berfikir panjang andai mahu melakukan perkara

buruk terhadap kita. Itulah sebahagian daripada apa yang Lofa dapat ceritakan mengenai dilema apabila mempunyai pembantu rumah. Ibarat ditelan kiokk bapa, diluah kiokkk emak. Insya-Allah, jika kena caranya, pembantu rumah boleh menjadi sahabat terbaik kita.

Ingatlah, tidak semua pembantu rumah jahat dan bermasalah. Namun sebagai langkah pencegahan, boleh jadikan tip Lofa sebagai panduan. Apa yang Lofa kongsikan di atas hanya sekadar pandangan Lofa. Pasti anda semua ada cara tersendiri, kan? Jika ada, apa kata kongsikan bersama Lofa di laman sosial Twitter. Insya-Allah, kita akan bertukar-tukar pandangan dan tip. Hingga bertemu lagi minggu depan, Assalamualaikum.

Author: fafa