Petua cara didik anak lebih pintar

Anak-anak kita sangat unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi kenapa kita mesti fokus kepada kelemahan dan perkara lain yang mereka tidak boleh lakukan dengan baik seperti kanak-kanak lain berbanding kelebihan mereka? Menjadi tugas ibu bapa untuk membantu membentuk bakat semula jadi anak, jadi barulah mereka boleh berjaya dan melalui pengalaman baik dalam hidup. Untuk mendidik kekuatan individu anak anda yang unik, ada tujuh perkara yang anda mesti amalkan.

1. Jangan tengok pada ‘masalah dan cuba ‘membetulkannya’

Tak kira sama ada di rumah atau pun sekolah, kita biasanya akan fokus kepada apa kesilapan yang dibuat oleh anak. Tidak semua orang boleh menjadi bagus dalam semua perkara, jadi lebih awal anda kenal pasti kelebihan anak, maka lebih bagus untuk anda fahami faktor menarik semula jadi anak-anak supaya mudah membimbing mereka ke mercu kejayaan.

2. Bantu menukar kelakuan buruk dengan sesuatu yang lain

Antara kelakuan buruk kanak-kanak prasekolah adalah suka menggigit orang. Ia sangat menggeramkan para ibu bapa. Sudahnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang suka menggigit asyik fokus kepada kelemahan si anak sahaja. Mereka asyik bertanya soalan yang sama. “Hari ni ada gigit kawan tak?” atau mengingatkan anak supaya jangan menggigit kawan! Sebaiknya cuba cari apa minat anak anda dan bakat sebenarnya, jadi anda ada benda lain untuk diberi perhatian dan bukan sekadar masalah dia suka menggigit orang lain.

3. Fokus kepada aktiviti yang paling anak gemar

Tentu anda dapat kesan apa jenis permainan atau aktiviti yang mampu membuatkan si kecil duduk diam dalam masa yang lama. Contohnya jika dia gemar bermain permainan lego, maka anda boleh memintanya membina objek yang pelik dan sukar. Dengan cara ini anda membantunya menjadi lebih kreatif kerana otaknya berfikir dan ototnya aktif bekerja.

4. Bina rangkaian ‘rakan kongsi’

Bukan hanya anda berdua sahaja yang ditemui oleh anak setiap hari. Sebagai ibu bapa, anda tentu melihat anak membuat sesuatu perkara yang baru setiap hari. Jika ada orang lain di sekeliling hidup anda seperti datuk nenek, jiran-jiran, guru dan pengasuh yang mampu memerhatikan beberapa aspek karakter anak, jadi mereka boleh membantu mengesan apa bakat yang dimiliki oleh anak. Dengan cara itu anda boleh mengasah bakat tersebut dan memberi fokus kepadanya.

5. Berikan perhatian tanpa sempadan

Perhatikan berapa kali anak meminta anda memberi perhatian dengan apa yang mereka buat. Anak-anak cuma mahukan perhatian daripada ibu bapa untuk membesar dengan lebih berkeyakinan dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan. jadi jangan abaikan untuk anak semasa proses membesar kerana perhatian dari ibu bapa itu penting

6. Biasakan beri masa menunggu jawapan daripada anak

Gandakan masa anda menunggu apa yang anak fikirkan tentang sesuatu soalan. Apabila anda mula melatih diri untuk lebih mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh anak, dan mengesan apa yang mereka inginkan, maka komunikasi akan lebih berjalan lancar.

7. Jangan harap perubahan sekelip mata

Matlamat sebagai ibu bapa adalah untuk memastikan anak-anak hidup bahagia dan gembira. Jika anda sedang dalam proses mengubah perilaku anak-anak kepada yang lebih positif, jangan jangkakan ia berlaku sekelip mata. Yang penting ibu bapa jangan cepat putus asa.

Artikel lain : Ajar cara urus rumah tangga bukan nak ajar anak lelaki jadi perempuan, bapa ini ubah mentaliti lapuk

Tidak dapat dinafikan masyarakat kita sering meletakkan segala urusan dan kerja di rumah adalah tanggungjawab golongan perempuan. Manakala, anak lelaki pula jarang diberi didikan menguruskan kerja di rumah. Mentaliti sedemikian sudah sebati dalam masyarakat kita sejak zaman nenek moyang lagi. Mungkin ada yang menganggap anak perempuan tugasnya hanya di dapur dan lelaki keluar mencari rezeki menyara keluarga. Perkongsian dari Ariff Ismail menyuarakan pendapatnya menyeru agar ibu bapa mengubah persepsi lapuk sebegini dan anak lelaki juga perlu belajar buat kerja di rumah.

JANGAN AJAR ANAK LELAKI JADI PEREMPUAN

” Kakak tolong mama masak, kejap lagi tolong jemur baju, lepastu kain yang dah kering, lipat susun dalam almari ” Rata rata keluarga dalam masyarakat memang akan menitik berat supaya anak perempuan tahu urus soal rumah tangga. Manakala yang lelaki diajar supaya jadi ” King “. Maka keluarlah dialog : ” kau nak jadi ape? perempuan tak reti masak, tak tahu kemas rumah, besok besok dah besar nak kahwin ape pun kau tak tahu “. Bebel mak nya.

Itu ayat yang biasa mak mak zaman dulu keluar bila membebel perihal anak perempuan. Memang setiap kerja rumah atas bahu anak perempuan. Anak lelaki kita lebih ditugaskan untuk bertukang, beli barang dan lain lain kerja luar. Itu yang bila dah besar, bini suruh pergi pasar pun tak kenal ikan, tak tahu rupa sayur. Suruh beli lengkuas bawak balik halia. Hahaha kau ingat lawak? Jom ubah sikit cara didikan anak lelaki, jangan letak dalam kepala anak lelaki tak perlu tahu cara urus rumah tangga. Benda boleh ubah kita ubah. Cukup lah bila suruh kami golongan bapak zaman sekarang ni tak tahu buat.

Kita ajar cara urus rumah tangga bukan nak ajar anak lelaki jadi pondan. Tak salah ajar ilmu memasak, mengemas dan mengurus rumah kat anak jantan kita. Nanti depa tahu buat, kita juga yang senang. 3 cara didik anak lelaki urus rumah tangga : 1. Kemas Rumah. Perkara paling asas perlu di didik dari kecil, ajar anak lepas makan basuh pinggan, lepas mandi masuk baju dalam bakul, lepas main kemas barang, susun semula barang pada tempat nya.

Resam anak jantan ni, lepas makan tinggal je, lepas mandi baju bersepah. Bilik tidur selimut tak kemas, cadar tak betul kan. Sikap ” king ” ni boleh diubah. Bila kita ajar dari kecik sampai ke besar lah mereka akan ikut. Bila hujung minggu, galakan anak untuk gotong royong basuh toilet, sapu rumah, mop lantai. Jangan manjakan anak dengan kita yang jadi bibik mereka.

Ajar anak beli ikan, sayur

2. Pergi Pasar. Kenalkan barang basah dan kering pada anak, jangan fikir ala anak kecik lagi tak perlu tahu. Kalau kita fikir macam tu, memang sampai besar lah dia tak tahu. Ajar anak beli ikan dan sayur di pasar. Macamana nak tengok ikan tu segar lagi atau tidak. Tunjuk jenis ikan pada mereka, tak da lah besar nanti suruh beli ikan kembong dia bawak balik ikan selar.

Jangan fokus ajar anak perempuan saja

3. Masak. Bab ni sangat penting untuk ajar anak kita, ajar masakan asas yang mudah untuk mereka ingat. Ajar macam mana nak goreng ikan, goreng nugget, buat nasi goreng. Benda paling simple ajar mereka masak nasi dan goreng telur. Bukan kita nak ajar dia masak nasi beriyani, tu dah advanced sangat. Bila ajar masak kenalkan pada anak jenis bawang, garam, gula, kunyit. Kunyit ni pesan siap siap kau jangan dah besar mengunyit pulak.

Inshaallah, bila kita dah ajar perkara asas memasak ni, takda lah nanti bila kita outstation ke ada event, anak duk makan maggi je kat rumah. Semudah ABC dan Alif Ba Ta sahaja nak didik anak lelaki ni supaya jadi lebih bertanggungjawab dan tahu urus rumah tangga. Ajar mereka 3 langkah diatas, jangan hanya focus ajar anak perempuan sahaja bab bab bantu kita urus rumah.

Teringat zaman kecik dulu, saya duk membebel kat mak bila kena masuk dapur, ikut pergi pasar dan belajar masak. Bila dah besar baru tahu ini lah ilmu paling berharga yang mak ajar. Terima kasih mak atas didikan yang di beri. Dalam keluarga saya memang tak kira lelaki ke perempuan tetap kena buat kerja rumah. Gambar dibawah anak sedara saya umur baru 12 tahun dah boleh masuk dapur, kemas rumah, dan jaga adik.

Sumber: Ariff Ismail

Author: Iqbal