Pu Abu nafi tuduhan dari netizen yang mengatakan dia penyebab bayi dalam kandungan tidak aktif

PENCERAMAH bebas dan bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Abu, 25, menafikan dia menjadi punca bayi dalam kandungan bekas isterinya Ain ‘Afini Latif tidak aktif akibat tekanan berhubung kes perceraian mereka, baru-baru ini.

Abu atau nama sebenarnya Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi ketika ditemui berkata, apa yang berlaku terhadap Ain bukan disebabkan tekanan daripadanya atau dia ada ‘membantai’ Ain untuk naik ke mahkamah dan sebagainya, tapi kerana kecaman netizen.

“Itu (bayi tidak aktif) berita palsu. Saya terus menghantar mesej kepada Ain dan menurutnya, bayi tidak aktif bukan kerana saya, tapi kerana sebahagian kecaman netizen yang membuatkan dia tertekan,” katanya. Abu berkata, dia juga ada menerima kiriman mesej daripada bapa Ain

memaklumkan mengenai keadaan terkini bekas isterinya itu. “Dia memaklumkan Ain perlu berehat dan tidak boleh berada dalam keadaan tertekan. Bayi tak aktif (dalam kandungan) itu perkara biasa dan ia berlaku bukan saja kepada Ain, tetapi juga kepada kebanyakan yang bergelar ibu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ain yang meluahkan rasa sedih selepas doktor memaklumkan bayi dalam kandungannya kurang aktif. Proses perceraian mereka dikatakan menjadi punca Ain yang dijangka bersalin pada 10 Julai itu mengalami tekanan. Pasangan itu bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah, Klang, baru-baru ini.

‘Saya okay saja’

“SAYA lega kerana semuanya sudah selesai, tumpuan kini kepada diri dan bayi yang bakal dilahirkan. Syukur berkat sokongan keluarga, emosi saya terkawal dan reda dengan ketentuan ini,” kata Ain ‘Afini Latif, 23, yang sah diceraikan dengan talak dua semalam.

Dia sah diceraikan bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25. Ain berkata, dia akan menuntut nafkah untuk anaknya selepas kelahiran bayi itu yang dijangka pada 10 Julai ini. Katanya, selepas perceraian itu, PU Abu menyatakan kekesalan terhadap

perbuatannya dan mahu mereka rujuk kembali sebagai suami isteri namun dia masih belum bersedia. “Memang ustaz ada cakap nak rujuk semula tetapi buat masa ini saya tak mahu. Saya nak bersalin dengan tenang dan saya okay saja.

“Alhamdulillah, segalanya sudah selesai dan saya sedang membuat persediaan untuk bersalin. Kandungan saya sudah berusia lapan bulan dan insya-Allah ia adalah bayi lelaki. “Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan saya akui mungkin ada kesilapan daripada saya juga,”

katanya ketika dihubungi sebentar tadi. Ain masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Sains Kemanusiaan. Pasangan itu pernah bercerai pada Januari lalu dan rujuk semula sebulan kemudian. Pada 13 Mac, PU Abu melafazkan cerai kali kedua menerusi

aplikasi Whatsapp dan Ain melaporkan pada mahkamah pada 2 Mei. Kes mereka dibicarakan semalam. “Pada awal kes ini dibicarakan, saya terkejut apabila hakim putuskan hubungan suami isteri kami masih sah memandang saya tahu lafaz cerai yang dibuat itu memang dengan niat.

“Namun saya akur dengan keputusan itu sehinggalah ustaz menghubungi saya dan minta datang semula ke mahkamah pada petang semalam kerana ustaz baru teringat ada beberapa perkara yang dia tidak kemukakan kepada pihak mahkamah.

“Dengan maklumat tambahan itu maka terjatuhlah talak dan saya merelakan perceraian ini serta menerimanya kerana benda dah nak jadi. Tak apalah, saya reda. “Saya tidak mahu lagi berada dalam tekanan, keluarga juga bersetuju dengan keputusan saya ini,” katanya.

Kisah PU Abu tular apabila menceraikan isteri yang sedang hamil untuk berkahwin dengan seorang janda yang juga usahawan kosmetik. Semalam, mahkamah memutuskan bahawa hubungan mereka masih kekal sebagai suami isteri namun keputusan itu ditukar selepas PU Abu mengemukakan maklumat tambahan pada sebelah petang.

Author: Iqbal