Sebuah butik baju percuma telah disediakan di Masjid Penang buat golongan yang kurang mampu.

Kita biasa lihat dan dengar masjid-masjid menyediakan gerobok rezeki yang meletakkan barangan dapur untuk dibawa pulang oleh golongan kurang berkemampuan, tapi berbeza pula dengan sebuah masjid di Pulau Pinang ini! Masjid Permatang Rambai di Penaga, Pulau Pinang ini mempunyai cara tersendiri untuk membuat kebajikan.

Masjid Permatang Rambai, Penaga, Pulau Pinang. Berbeza dengan masjid-masjid lain, Masjid Permatang Rambai menyediakan sebuah ‘butik’ yang mana menawarkan pakaian percuma buat golongan kurang berkemampuan. Di situ, pengunjung boleh mandapatkan pelbagai jenis pakaian dewasa serta kanak-kanak.

‘Butik’ yang telah diperkenalkan sejak Disember 2018 yang lalu merupakan hasil inisiatif biro kebajikan masjid berkenaan dan telah diuruskan Robiah Che Mat serta suaminya, Saad Yaakob, yang juga merupakan Pengerusi Biro Kebajikan masjid terbabit.

Robiah Che Mat menyusun pakaian yang disumbangkan kepada masjid tersebut. Menurut Robiah, idea mengadakan ‘butik’ ini tercetus ekoran beliau serta suaminya sedang memikirkan cara untuk mengisi masa lapang selepas mereka bersara.

Idea itu kemudiannya telah mendapat perhatian anak-anak kariah yang turut sama mahu menyumbang tenaga. Dengan adanya aplikasi WhatsApp dan medium media sosial yang lain, program itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila ramai mula menghantar pakaian terpakai sehingga mencecah 5,000 helai sebulan!

“Idea infak pakaian ini mendapat sokongan Pengerusi Masjid Permatang Rambai Datuk Ghazali Hashim yang kemudian memberi ruang kepada skuad infak untuk beroperasi di kawasan berhampiran masjid,” kata Robiah kepada Harian Metro.

“Sehingga kini, kami berjaya mengumpul lebih 10,000 pakaian terpakai dan lebih 2,000 pakaian baharu,” tambahnya lagi. Antara yang mengunjungi masjid itu bagi mendapatkan pakaian percuma adalah penduduk setempat serta penduduk luar kariah itu termasuk dari Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

‘Butik’ berkenaan beroperasi 24 jam setiap hari dengan dikendalikan 20 sukarelawan berusia antara 24 hingga 60 tahun. Selain mendermakan pakaian terpakai kepada ‘butik’ ini, orang ramai juga boleh memberi bantuan kewangan yang mana terdapat sebuah tabung yang telah

diletakkan di hadapan butik infak itu bagi menggalakkan amalan bersedekah “Kami menerima sumbangan daripada sesiapa pun yang mahu menderma,” ujar Robiah yang turut menyatakan bahawa wang tersebut akan digunakan untuk membeli barangan makanan seperti beras, gula dan

tepung untuk disumbangkan pula kepada golongan asnaf. Syabas diucapkan kepada pihak pengurusan Masjid Permatang Rambai dan pihak-pihak yang terlibat dalam menyediakan kemudahan ini. Semoga pihak-pihak lain dapat mengikuti inisiatif ini!

Author: fafa