Setiap kali ibu bapa hantar anak ke pengasuh, keadaan anak sangat tidak terurus. Luahan pengasuh tentang ibu bapa yang pelik

Kebiasaannya, tiada ibu bapa yang suka tinggalkan anak kecil mereka berada di bawah jagaan pengasuh untuk jangka masa yang lama. Habis saja waktu bekerja, terus pecut kereta untuk menjemput anak yang dirindui dari rumah pengasuh. Namun berbeza bagi ibu bapa bayi perempuan berusia sembilan ini yang ternyata mengambil kesempatan terhadap pengasuh yang baik hati ini.

Saban hari anak kecil itu diambil pada jam 9 malam. Bila ditanya kenapa lewat, alasan yang diberikan cukup menyakitkan hati. Jika diikutkan hati, mahu saja diri ini berhenti dari menjaga anak pasangan ini. Namun bimbang dan terbit rasa kasihan pada si kecil itu membuatkan dia bertahan dan cuba menjaganya sebaik mungkin.

Percayalah, confession ini akan membuatkan anda terasa sakit hati.

ASSALAMUALAIKUM semua. Saya pengasuh bayi perempuan berusia 9 bulan, yang ibu bapanya masing masing pegawai bank. Saya tiada masalah dengan bayi berkenaan tetapi saya pelik dengan ibu bapanya yang seperti tidak sayangkan anak. Di sini saya senaraikan beberapa perkara yang saya rasa pelik. Sejak saya menjaga bayi berkenaan enam bulan yang lalu, susu sedikit pun tidak dibekalkan oleh ibu bapanya.

Dia hanya sekadar meminta saya memberi anaknya air kosong sahaja. Saya ada anak berusia satu tahun tujuh bulan, tetapi dia menyusu badan sepenuhnya. Jadi, selama tiga bulan suami belikan bayi itu susu murah sahaja. Selepas bayi itu berusia enam bulan, suami suruh saya berhenti beli susu dia kerana kami pun makan pagi kais pagi, makan petang kais petang.

Tetapi saya tetap bersyukur kerana kami cukup makan pakai. Untuk makluman, ibu bapa bayi ini hanya membayar saya RM200 sahaja sebulan. Setiap kali hari Isnin datang ke rumah saya, mesti baby penuh berdaki di lehernya. Saya pelik, apakah ibu bapanya tidak memandikan anak mereka? Setiap hari baby itu dihantar pada saya waktu pagi, pampers penuh,

baju petang semalam yang saya pakaikan selepas mandi dan anak dia seperti sangat kehausan. Di rumah, mereka abaikan ke anak mereka ini? Pampers dan susu baby setiap kali ditanya, mereka akan jawab, “Anak awak kan ada, kongsilah”. Untuk pengetahuan, anak saya ada eczema. Pampers yang kulit dia boleh terima hanya huggies pack berwarna hijau yang harganya RM40 sepaket.

Takkan saya pula yang kena menanggung pampers anaknya sekali? Saya bukan kedekut tetapi kami juga berada dalam keadaan cukup cukup makan. Sedangkan mereka bergaji tinggi, takkan pampers dan susu anak sendiri pun kami yang sediakan? Sabun mandi anak saya semuanya khas untuk kulit eczema yang mana harganya memang mahal.

Tetapi disuruhnya anak dia berkongsi juga dengan anak saya. Memang mengambil kesempatan sungguh walaupun bayar RM200 sebulan. Saya bertahan menjaga anak dia sebab saya kasihankan baby itu. Apalah nasib baby itu kalau dia hantar ke pengasuh yang lain (yang selalu marah budak jika tidak puas hati dengan ibu bapa anak asuhan).

Baby itu pun setiap kali nak balik mesti menangis nangis memeluk saya. Seperti saya pula ibu kandungnya. Saya memang jaga baby itu sepenuh hati, ikhlas memberi kasih sayang seperti anak saya sendiri. Tetapi itulah, perangai ibu bapanya membuatkan saya terasa pelik. Bila diajak berbincang, dia asyik kata, “Kalau tak nak jaga, cakap saja. Saya boleh humban anak saya ke dalam longkang tu,” katanya.

Ya Allah, saya dan suami tak sampai hati bila teringatkan budak tak berdosa itu. Sebab itu kami bertahan menjaga baby itu sampai sekarang. Nak kata mereka tiada duit, setiap hari mereka ambil anak jam 9 malam. Katanya selepas mereka habis bekerja, mereka selalu pergi karaoke, main bowling dengan rakan sepejabat. Allahuakbar.

Dia tak kasihan ke pada anak dia? Saya dan suami setiap hari mendoakan agar anak ini bila sudah dewasa kelak, jangan ada tekanan perasaan. Kami sedaya upaya memberikan kasih sayang yang secukupnya pada dia. Pesan saya kepada ibu bapa yang belum ada niat nak beranak itu, rancanglah kehamilan anak ye. Kalau rasa tak puas enjoy, tolong jangan beranak dulu

Kasihan pada anak itu dan kasihan pada kami yang mengasuh anak awak itu. Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa ini besar. Didikan kita sebagai ibu bapa ini penting untuk tumbesaran anak. Sekarang, nasib baik baby dah berusia 9 bulan. Jadi apa yang saya bagi anak saya makan, dia pun boleh makan. Tetapi saya kasihan sangat bila anak saya tengah breastfeed, dia tengok saja.

Nak breastfeedkan anak orang, saya takut sebab baby itu perempuan. Anak saya pula lelaki. Nak belikan susu, suami pun kerja cukup cukup makan pakai kami bertiga sahaja. Pampers pun suami yang sediakan untuk baby itu tetapi yang harga murah sebab takkan saya nak bagi dia pakai pampers anak saya yang boleh tahan mahal itu? Untuk orang seperti saya memang akan rasa pampers Huggies pek hijau itu mahal.

Kiranya makan minum, pampers, barang mandian semua saya sediakan dan dibayar RM200 sebulan. Apa kedekut atau ibu bapa dia tak tahu tanggungjawab? Buntu saya dibuatnya. Tak nak jaga baby itu, saya kasihan dengan nasib dia saja, sebab saya dah menjaga dia selama enam bulan dari habis pantang lagi.

Sumber: kisahjalanan

Artikel lain : Kesilapan ibu bapa amalkan dalam mendidik anak di zaman moden

Tanggungjawab ibu bapa sebenarnya amat berat. Semua yang dah merasai betapa besarnya tanggungjawab yang perlu ditanggung pasti akan mengangguk setuju. Tidak ada apa pun perkara yang senang dalam membesarkan manusia supaya dia jadi insan yang berguna pada masa senang, tetapi pengalaman membesarkan anak adalah pengalaman yang sebenarnya manis di dalam pahit.

Walau bagaimanapun, ada bermacam panduan yang boleh membantu kita sekurang-kurangnya lebih bersedia dalam menjalani hidup sebagai seorang ibu atau bapa. Berikut adalah lima kesalahan yang kami rasakan perlu dikongsi supaya perjalanan anda sebagai ibu dan bapa menjadi lebih mudah.

Tidak ajar anak tidur awal

Ramai ibu bapa merungut kenapa anak-anak mereka tidak dapat tidur pada waktu malam, berjaga, melalak, nak ajak main tetapi pada waktu siangnya pula lena. Kes ini selalunya melibatkan anak kecil. Ini berlaku kerana dari mula lagi ibu bapa tidak mendidik anak untuk tidur awal. Semasa anak masih bayi, ajar anak tidur dari awal walaupun dia tidak mengantuk.

Seeloknya lepas jam 7 dah tidur dan si ibu perlu tidur sekali dengan anak. Memang perit sikit untuk korbankan masa berjaga kita yang sangat terhad tapi amalan ini jika dilakukan dengan konsisten, akan melatih anak supaya dapat tidur awal dan tidak berjaga pada awal pagi mintak bermain dengan dia.

Anak pula perintah ibu bapa

Saya perasan ramai ibu bapa yang jadi takut nak marah anak. Mungkin terlalu terpengaruh dengan pendidikan barat yang terlalu mementingkan hubungan “diplomatik” di antara anak dan ibu bapa, sehinggakan kadangkala apabila anak-anak mula mengganggu orang lain di tempat awam pun, dibiarkan saja tanpa sebarang teguran.

Adakah itu baik? Tidak. Mendidik anak-anak untuk berani memerhatikan dunia adalah satu perkara, tetapi sehingga ada yang membiarkan saja perangai anak huru hara adalah amat tidak patut dilakukan. Teguran masih diperlukan dan kadangkala, marah itu perlu ada.

Tidak mahu anak bersusah payah

Berkat tahap kemampuan kita yang semakin baik, semakin ramai ibu bapa yang mampu membelikan anak-anak mereka bermacam benda. Walaupun begitu, kita perlu sedar apabila diberikan dengan pelbagai benda seperti gajet atau permainan, ini akan membuatkan anak tidak belajar erti susah payah mendapatkan sesuatu. Seorang anak perlu faham yang barang yang dia perolehi tidak jatuh dari langit dan dia juga perlu memahami yang setiap barang yang diperolehi, sepatutnya mempunyai makna yang besar.

Beri gajet untuk diamkan anak

Ini kerap berlaku zaman ini. Terlalu ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka huru-hara, menggunakan cara paling mudah iaitu memberikan gajet seperti telefon pintar atau gajet untuk mendiamkan mereka. Cara ini rasanya tidak bagus kerana apa yang berlaku sebenarnya adalah

Ibu bapa mengalihkan perhatian anak-anak ke satu perkara lain, yang lama kelamaan akan membuatkan ibu bapa terpaksa bergantung dengan gajet dalam semua perkara. Gajet bukanlah penyelesaian. Cuba cari jalan bagaimana hendak mengawal anak anda tanpa menggunakan gajet.

Terlalu takut kecewakan anak

Jika ada ibu bapa yang mempunyai dua atau lebih anak, pasti akan timbul masa di mana seorang anak terpaksa mengalah dengan anak lain. Untuk memujuk yang mengalah, ibu bapa mula menjanjikan dengan beliau sesuatu sebagai ganjaran yang dia akan dapat jika dia mengalah, secara sembunyi-sembunyi. Ada dua perkara akan berlaku.

Yang pertama, anak anda akan lebih kerap mengalah untuk mendapatkan imbuhan. Dua, jika diketahui anak yang tidak mahu mengalah, itu akan mencipta jurang di antara dia dan adik beradiknya. Didik anak supaya mengalah dengan ikhlas kerana mengalah itu perkara yang baik antara adik beradik. Lebih sukar, tetapi untuk jangka masa panjang Insya Allah anda akan nampak kesannya.

Itulah serba sedikit panduan yang dapat saya berikan pada anda hari ini. Terpulang kepada anda jika anda rasakan berguna atau tidak nasihat ini kerana saya sedar, tidak ada orang lain yang lebih memahami anak-anak berbanding ibu bapa mereka. Walaupun begitu, perkongsian ini bukanlah untuk membuktikan anda salah,

tetapi sebagai ibu bapa memang akan ada masanya kita terlepas pandang perkara-perkara asas yang sebenarnya kita dah amalkan hari-hari. Saya harap artikel ini membantu. Selamat meneruskan kehidupan sebagai ibu bapa sehingga melahirkan anak yang berjaya dunia dan akhirat.

Sumber : iluminasi

Author: Iqbal