Syamel tidak serik dengan kejadian yang berlaku walaupun berasa sedikit kecewa.

PENYANYI Syamel tidak kecewa mahupun serik untuk tampil membuat persembahan pada Minggu Setiausaha akan datang meskipun berdepan masalah sebelum ini. Syamel, 25, berkata, apa yang berlaku adalah satu pengalaman buat dirinya dan penganjur.

“Walaupun sedikit kecewa kerana ia adalah persembahan pertama kali, namun saya tidak boleh serik kerana akan terus berdepan dengan ramai orang dalam apa juga majlis. “Apa yang berlaku lebih mengajar untuk memperbaiki apa yang silap di pihak saya sebagai penyanyi,” katanya.

Syamel berkata, dia juga bersyukur berada di bawah pengurusan yang baik membuatkan masalah itu dapat diatasi dengan segera. “Penganjur berkenaan tidak hilang tetapi mereka terpaksa membatalkan majlis atas beberapa sebab yang saya tidak boleh beritahu.

“Namun saya bersyukur dan menganggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya kerana rezeki tetap ada di tempat lain,” katanya. Dalam pada itu, Syamel teruja bakal beraksi pada sebuah showcase gandingan bersama Erni Zakri.

“Pembatalan persembahan pada Minggu Setiausaha itu mengubat sedikit kekecewaan saya kerana akan tampil dengan sebuah showcase. “Saya kini sedang fokus latihan untuk showcase berkenaan dan apabila selesai akan umumkan dengan lebih lanjut,” katanya.

Ernie Zakri, Syamel terkilan

PENYANYI Ernie Zakri dan Syamel kecewa apabila persembahan mereka sempena Minggu Setiausaha yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya hari ini terpaksa dibatalkan. Ernie berkata, mereka sudah merangka pelbagai bentuk persembahan,

namun terpaksa akur dan menganggap apa yang berlaku tiada rezeki dan ada hikmah di sebaliknya. Mereka juga tidak tahu apa punca sebenar ia dibatalkan penganjur Nafis Global Resources Sdn Bhd. “Sudah tentu saya terkilan kerana ini kali pertama saya dan Syamel mendapat tawaran

untuk menjayakan Minggu Setiausaha dan konsert sebesar ini. “Macam-macam sudah kami rancangkan untuk menghiburkan peminat nanti. Bagaimanapun impian terbabit terpaksa dilupakan. “Kami ada bertanya dengan pihak pengurusan Rocketfuel dan mereka pun mengesahkan

persembahan itu terpaksa dibatalkan atas beberapa sebab tertentu. Bagaimanapun kami lega apabila mereka memberi cadangan untuk mengadakan satu persembahan lain buat kami,” katanya. Majlis An Afternoon Of Elegance With Syamel & Ernie Zakri –

When Heart Needs A Beat sepatutnya berlangsung jam 12 tengah hari esok. Terdahulu, isu pembatalan persembahan mereka mula diperkatakan selepas satu ruangan pojok sebuah akhbar melaporkan penganjur dikatakan tiba-tiba ‘hilang’ dan gagal dihubungi walaupun segala

persiapan sudah dilakukan kedua-dua penyanyi itu. Syamel berkata, sebagai penyanyi yang kini diuruskan pihak pengurusan, dia menyerahkan segala urusan itu kepada mereka untuk diselesaikan. “Saya tak tahu kenapa ia dibatalkan.

Saya hanya menyanyi dan diminta untuk menghiburkan peminat. Bagi saya hal membabitkan pengurusan, seeloknya biarlah mereka yang jawab. “Kami pun tak berani nak keluarkan kenyataan yang lebih kerana ia membabitkan undang-undang” katanya.

Dalam masa sama, Syamel turut memohon maaf kepada peminat serta tetamu yang sudah mendapatkan tiket konsert itu. “Kami minta maaf kepada semua yang kecewa. Kami tak sangka perkara sebegini berlaku. Kita doakan semoga selepas ini ada konsert yang lebih besar menanti kami,” katanya.

Author: fafa