Tak ada manusia yang sempurna baik isteri ataupun suami. Ketahuilah aib suami aib isteri juga. Jangan suka suka luahkan dengan orang lain.

Setiap manusia memang akan ada kekurangannya. Tak ada manusia yang sempurna, baik diri anda ataupun suami anda. Kadang kala memang rasa tak puas hati dengan sikap suami, kecil hati dan macam tak faham pun ada. Tapi apa yang kurangnya dari suami itu, lebih baik disimpan anda berdua saja tak perlu dihebohkan sekampung.

Menjadi satu trend sekarang ini, aib pasangan habis disebarkan melalui media sosial. Bukan itu saja, yang sibuk bersembang pasal kurangnya pasangan dengan kawan-kawan sepejabat pun apa kurangnya. “Anda harus simpan aib pasangan anda, dengan menyebarkannya sama seperti anda sebarkan aib anda.”

Jangan terlalu ringan mulut nak cerita aib pasangan anda itu pada rakan-rakan atau orang terdekat. Nak-nak lagi kalau muat naik di media sosial, malu suami anda, sedikit sebanyak anda juga akan mendapat malunya sama. Jadi fikri sebelum lakukan perkara tersebut.

“Rasa nak lauhkan sangat, lauhkan pada Allah. Dia yang lebih layak dan lebih ketahui segalanya.” Tugas seorang isteri adalah menjaga maruah suami, jika anda rasa nak luahkan sesuatu yang terbuku, luahkan kepada Allah. Nangis sepuasnya di depanNya. Bahkan, minta kepadaNya agar suami anda berubah menjadi yang lebih baik. Hanya Allah yang mampu mengubahnya.

“Suami isteri ibarat baju yang menutup apa yang perlu di badan.” Suami isteri itu ibarat baju, kalian saling memerlukan untuk menutup apa yang perlu. Jika terdedah sedikit, maka habis akan dilihat oleh orang lain. Maka dengan itu, pakai baju yang menutup dengan sempurna, barulah aib anda juga akan selamat dari pandangan orang.

“Pasangan itu adalah ujian yang membawa kita ke syurga.” Sesakit hati mana kita dengan pasangan, kecewa dengan sikapnya bahkan geram dengan tingkah lakunya, itu semua ujian untuk kita sebagai suami atau isterinya. Semakin menguji sikap pasangan kita, percayalah semakin mudah untuk kita ke syurga jika kita sentiasa sabar dengannya. Kurangnya pasangan kita itu, lindunginya dengan kelebihannya. Sakitnya hati kita itu dengan sikapnya, lihat kebahagiaan yang telah dikongsi bersama.

Suami, isteri dilarang dedah aib pasangan

Sering tular di media sosial kisah rumah tangga suami isteri yang bergolak. Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan pasangan secara terbuka mendedahkan aib pasangan bagi membuktikan mereka ‘jaguh’ dalam pergolakan itu.

Tanpa kita sedar dalam hubungan suami isteri, antara perkara dilarang adalah mendedahkan aib pasangan masing-masing kepada orang yang tidak berhak mengetahuinya. Ia boleh jadi percakapan di tempat kerja, luahan di media sosial atau mengadukan kepada pihak ketiga yang tidak sepatutnya.

Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pastinya ada ranjau dan duka kekurangan yang melengkapi antara satu sama lain. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (isteri-isterimu) meru- pakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Ayat itu mengisyaratkan, suami atau isteri adalah pakaian yang sepatutnya dijaga dengan cermat dan menutupi hal peribadi agar tidak diketahui orang lain. Jika seorang suami atau isteri mudah mendedahkan aib pasangannya, tanpa sedar mereka membiarkan diri seolah-olah tanpa berpakaian.

Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan. Berpandukan sebuah hadis riwayat Muslim,

daripada Abu Sa’id al-Khudriy r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling jelik kedudukannya pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bercampur (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”

Walaupun yang dimaksudkan ayat itu adalah suami, tidak bererti isteri bebas mendedahkan aib pasangannya kepada orang lain. Fuqaha seperti Ibnu Abbas, Imam al-Kurthubi, Mujahid dan lainnya berpendapat, hadis itu berkait rapat mengenai soal hubungan intim suami dan isteri.

Al-Hirawy dan Al-Kalbiy pula mengatakan, ia ditakrifkan secara umum dalam hubungan suami isteri. Syeikh Abdullah al-Bassam ketika menghuraikan hadis berkenaan menjelaskan, aib yang terdapat pada pasangan seperti bentuk anggota badan termasuk dalam rahsia pasangan suami isteri yang tidak wajar diketahui orang lain dan ia adalah maruah yang perlu dijaga.

Bagi mendapatkan kemuliaan Allah SWT serta maruah pasangan terpelihara, suami isteri harus bermuhasabah kembali tujuan perkahwinan yang terbina itu antaranya bagi mendapatkan kebahagiaan dalam kehidupan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: “Tidaklah seorang hamba menutupi (aib) seorang hamba (yang lain) di dunia melainkan Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”

Author: Editor