Tidak mengambil minuman berais, Mengaji setiap hari Juara Qariah Selamat Bergraduasi

Kelunakan suara Nor Farhatul Fairuzah Panut mendendangkan lagu Arab, Biridak dan mengalunkan surah at-Takathur dengan taranum rast cukup memukau dan kejayaan hebatnya mampu memberi inspirasi dalam kalangan remaja mencintai al-Quran.

Meskipun baru mencecah usia 19 tahun, ternyata gema suaranya yang diperdengarkan untuk rakaman khas BH Online yang berlangsung di lobi hotel penginapannya sepanjang menyertai Tilawah dan menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 (MTHQA61), tidak dapat dipertikaikan lagi kelunakannya sehingga ada pengunjung menoleh ke arah gadis manis itu.

Juara qariah Tilawah Al Quran peringkat antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut berjaya menamatkan pelajaran tingkatan enam di Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan. Berita gembira tersebut dikongsi oleh remaja berusia 19 tahun itu di laman Instagram miliknya dengan memuat naik beberapa posting sempena majlis graduasi baru-baru ini.

Farhatul turut mengamalkan rutin harian membaca Al Quran selepas selesai solat fardu, selain tidak mengambil minuman berais untuk menjaga suara. Selain latihan bersama ibunya, Jaliah Simin, Nor Farhatul Fairuzah sanggup menjelajah ke seluruh negeri untuk menimba ilmu bacaan al-Quran dan taranum daripada mantan johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan.

“Saya akan manfaatkan ilmu itu untuk panduan hidup. Saya sentiasa bersedia berkongsi ilmu itu supaya memberi inspirasi kepada remaja lain.“Cuma saya harapkan, lebih ramai anak muda gunakan ilmu ini sebagai terapi diri, kerjaya dan panduan hidup. Seperti saya, rasa kosong tanpa membaca al-Quran. Bacalah ilmu ini selagi ada masa,” katanya.

Mempunyai hampir 290,000 pengikut di Instagram, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk memberi ucapan tahniah atas kejayaan tersebut. Untuk makluman, Farhatul merupakan anak kepada bekas qari dan qariah, Allahyarham Haji Panut Markum dan Hajah Jaliah Simin.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga mempunyai impian untuk menjadi pensyarah dan berhasrat bagi membuka kelas pengajian tarannum pada masa akan datang.Mendalami pengajian al-Quran dan sering berkongsi minatnya itu menerusi Instagram sehingga berjaya menarik perhatian netizen dengan pengikutnya berjumlah hampir 100,000, terutama remaja yang berminat mahu mengetahui mengenai seni taranum secara lebih dekat.

Ternyata, Nor Farhatul Fairuzah mencetus fenomena baharu dalam dunia remaja Islam di negara ini yang mendorong lebih ramai anak muda mengenali seni membaca ayat suci, termasuk menonton tilawah al-Quran.

Berdasarkan reaksi warga net yang semakin tular selepas kemenangannya, beliau berjaya mendorong minat golongan itu melekat di depan televisyen untuk menonton program berkaitan. Malah ada remaja yang mengakui tidak pernah mengetahui mengenai majlis tilawah berkenaan sehingga kemenangan Nor Farhatul Fairuzah ditularkan, baru-baru ini.

Seperti remaja lain, Nor Farhatul Fairuzah mengakui pernah meminati selebriti Korea, bagaimanapun minat itu terpaksa dilupakan untuk memberikan tumpuan kepada bacaan al-Quran dan minatnya dalam seni unik berkenaan.

Berkisar rentetan itu, beliau berkata, sejak kecil, pelajar Tingkatan Enam (Atas) jurusan Syariah Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan itu sudah mengamalkan membaca al-Quran sebelum ke sekolah mahupun sebelum keluar bermain bersama rakan sebaya. Walau terlewat sekalipun ke sekolah, beliau, empat kakak serta abangnya perlu memenuhi rutin harian membaca al-Quran yang ditetapkan ibu bapanya.

Ternyata berkat asuhan secara konsisten itu, Nor Farhatul Fairuzah, berjaya muncul sebagai johan qariah MTHQA ke-61 yang sertai 74 peserta dari 41 negara serta paling muda dalam kalangan qariah.

“Sejak berusia lima tahun lagi, kami didedahkan dengan seni taranum. Saya sudah menguasai tujuh jenis taranum yang diajarkan berdasarkan silibus direka sendiri oleh ibu. Antara taranum yang saya gemari, Nahawand, Rast, Hijaz dan Bayyati selain Soba, Jiharkah dan Sikah dan walaupun sudah mempelajari seni taranum ini, saya sentiasa berusaha memperbaiki bacaan supaya lebih sempurna,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu, berkata beliau tiada petua khusus untuk menjaga kelunakan suaranya tetapi mengelak minuman berais, makanan berminyak dan terlalu pedas untuk menjaga suara sebelum menyertai pertandingan.

SUMBER : BH ONLINE

Author: pyka