Video lelaki ini telah berjaya mencipta pasir yang berfungsi seperti cecair.

Bekas jurutera NASA, Mark Rober telah menemui satu kaedah saintifik yang sangat menarik dengan menjadikan pasir bertindak seperti air!Mark bukan sahaja mendokumentasikan keseluruhan proses tersebut tetapi dia juga telah mengisi tab mandiannya dengan bahan berkenaan untuk berseronok dengannya.

Dalam video yang sangat menghiburkan ini, Mark telah memaparkan sesuatu yang disebut sebagai ’tilam cecair’. Ia merujuk kepada fenomena fizikal yang berlaku apabila sejumlah partikel pepejal diletakkan dalam keadaan tertentu yang mengakibatkan bahan campuran pepejal atau cecair bertindak seperti air.

Untuk menjadikan pasir beralun dan berbuih seperti air, Mark memasukkan udara ke bahagian bawah bekas yang mengandungi pasir tersebut. Kemudian, Mark meningkatkan ruang di antara setiap partikel pasir bagi mengurangkan geseran dalaman sekali gus membenarkan setiap partikel pasir untuk bergerak dengan bebas seperti cecair.

“Saya mahu membina satu untuk jangka masa panjang. Tetapi, anda tidak akan menemui sebarang maklumat mengenai cara membuatnya secara talian”Mark telah menjalankan eksperimen ini lebih daripada 25 kali dan kesemuanya gagal. Ini merupakan ciptaannya yang berjaya buat pertama kali. Lihat video di bawah untuk melihat bagaimana Mark mencipta ‘pasir cecair’ yang hebat ini!

Mark Rober/Youtube

Sumber: Bored Panda

Kenapa Sesetengah Orang Gemar Makan Batu, Pasir dan Benda Pelik – Penyakit Pica

Ilmu mengenai alam ini sememangnya sangat luas. Boleh dikatakan sangat banyak perkara yang kita tidak tahu. Mungkin majoriti daripada pembaca Iluminasi juga tidak tahu akan kewujudan Pica, iaitu sejenis penyakit misteri yang menyebabkan pesakit akan makan benda-benda pelik seperti pasir, batu, sabun dan lain-lain.Pica adalah sejenis penyakit yang menyebabkan pesakit mempunyai keinginan yang tinggi untuk memakan sesuatu yang tidak berkhasiat secara berulang-ulang. Mungkin kedengaran seperti tidak logik tetapi itulah realitinya.

Asal-usul perkataan “Pica”

Perkataan “Pica” itu sendiri sebenarnya berasal daripada perkataan Latin bagi burung murai (magpie dalam bahasa Inggeris) yang terkenal sebagai haiwan yang akan makan hampir apa sahaja.Menurut rekod, seseorang pesakit yang mempunyai penyakit ini juga pernah memakan guli, puntung roko, cat dan pelbagai barangan pelik.

Ada juga pesakit yang pernah makan sesuatu yang menjijikkan seperti najis.Penyakit ini merbahaya memandangkan benda yang dimakan kebiasaannya tidak dapat dicernakan oleh badan, seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Misalnya, seseorang yang makan cat mungkin akan mengalami keracunan plumbum yang wujud dalam cat.

Hanya ujian diagnostik boleh menentukan pesakit Pica

Ketika waktu kecil, mungkin sebahagian kanak-kanak akan memakan pasir apabila berada di tepi pantai atau taman permainan. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut bukanlah disebabkan oleh penyakit Pica tetapi sebaliknya dianggap sebagai satu perkara normal.

Ia hanya tindakan spontan dan normal seorang kanak-kanak yang serba ingin tahu tentang sesuatu perkara. Malah, akal seorang kanak-kanak juga tidak dapat menentukan bahawa pasir, batu dan lain-lain yang dicapainya itu tidak boleh dimakan dan boleh memudaratkan.Secara umumnya, terdapat beberapa kriteria diagnostik yang perlu dipenuhi untuk menentukan seseorang itu mempunyai penyakit Pica atau tidak. Antaranya:

1. Seseorang itu telah memakan sesuatu yang pelik dan tidak berkhasiat untuk tempoh yang lama, sekurang-kurangnya 1 bulan.2. Seseorang itu sudah di tahap umur dimana dalam sesuatu budaya masyarakat, ianya dianggap tidak normal sekiranya orang tersebut memakan benda tersebut. Sebagai contoh, di Malaysia adalah tidak normal sekiranya seseorang yang berumur 7 tahun akan makan pasir kerana kanak-kanak tersebut sudah tahu pasir bukanlah untuk dimakan.

Apakah sebab seseorang itu mempunyai Pica?

Buat masa ini, tiada bukti tepat yang membuktikan mengapa seseorang itu sanggup makan benda-benda pelik seperti kaca, besi dan lain-lain ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa hipotesis medikal mengapa ianya terjadi.Kekurangan nutrisi merupakan antara hipotesis mengapa ianya terjadi.

Walaupun tiada data empirikal yang dapat membuktikan perkara ini, kekurangan zat besi, kalsium dan zink telah dikaitkan dengan Pica.Beberapa penemuan pesakit Pica yang memakan tanah liat menunjukkan mereka mempunyai kekurangan zat besi. Walau bagaimanapun, data masih tidak mencukupi untuk mengaitkannya secara langsung dengan Pica.

Malah, terdapat juga beberapa penemuan dalam kalangan wanita mengandung yang mempunyai keinginan untuk makan benda-benda yang pelik ini. Hal ini mungkin disebabkan wanita mengandung biasanya mengalami kekurangan zat besi.Terdapat satu lagi teori yang mengatakan ianya berpunca daripada kecacatan atau masalah intelektual yang menyebabkan pesakit tidak dapat membezakan sesuatu benda itu boleh dimakan atau tidak.

Rawatan bagi pesakit Pica

Secara umumnya, tiada rawatan khusus untuk penyakit ini. Rawatan yang diberikan  bergantung kepada diagnosis yang dilakukan. Kebiasaannya rawatan yang diberikan termasuklah daripada segi psikologi, sosial dan fizikal. Ujian kesihatan juga dilakukan bagi memastikan pesakit tidak mempunyai keracunan dan saluran darah tersumbat akibat tidak boleh diproses.

Rawatan yang diberikan sangat bergantung kepada beberapa ujian yang dilakukan. Sebagai contoh, sekiranya ujian nutrisi yang dilakukan menunjukkan pesakit tersebut kekurangan sesuatu nutrisi, maka doktor akan memberikan suplimen bagi mengatasi masalah tersebut.

Sekiranya masalah intelektual dianggap sebagai puncanya, maka bantuan dari segi psikologi dan sosial akan diberikan untuk membantu pesakit membuat keputusan sesuatu benda itu boleh dimakan atau tidak. Dengan bantuan sebegini, lama-kelamaan diharapkan pesakit itu semakin maklum bahawa pasir, batu, guli dan seumpanya bukanlah untuk dimakan.

Author: fafa