Waktu sekarang bukan masa untuk membazir. Ikut empat tips untuk berjimat cermat ini ketika Covid 19.

PENULARAN wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini cukup tinggalkan pelbagai kesan hinggakan banyak negara mengumumkan lockdown terhadap rakyatnya bagi membendung virus itu terus menular. Ini termasuklah di Malaysia sendiri apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Perintah itu sedikit sebanyak telah mengubah kehidupan harian kebanyakan daripada kita termasuk daripada segi kewangan terutama kepada individu yang terpaksa diberhentikan atau mendapat upah secara harian.

Namun kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa bantuan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung rakyat ketika ini. Ini termasuklah memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

KWSP membenarkan pencarum membuat pengeluaran wang simpanan dalam akaun 2.

Langkah itu turut melibatkan pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan dan bantuan membabitkan RM120 juta itu memberi manfaat kepada 33,000 pekerja. Baru-baru ini juga, kerajaan turut mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Tidak cukup itu, kerajaan turut bersetuju memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), berkuat kuasa serta merta sehingga 30 Jun ini. Malah, bank tempatan menawarkan penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bermula 1 April ini.

Pembelian panik melibatkan kos tinggi. 

Selain itu, bagi pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan juga boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka sehingga 31 Disember depan. Meskipun terdapat pelbagai kemudahan bagi mengurangkan beban rakyat ketika ini, namun kita juga perlu memainkan peranan untuk mengambil langkah berjimat cermat kerana situasi melanda dunia ketika ini masih samar bila ia akan berakhir.

Terbaharu, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diberikan kepada semua golongan di Malaysia. Jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk kita berbelanja luar daripada kemampuan termasuklah membuat pembelian secara dalam talian termasuk memesan makanan.

Dalam tempoh jangka panjang, tabiat ini boleh memberi ancaman kepada situasi kewangan anda. Sebaik-baiknya rancanglah perbelanjaan anda dan sentiasa beringat ketika membuat sesuatu pembelian. Jadi, apa kata ambil peluang manfaat dan bantuan diperkenalkan kerajaan untuk lebih berjimat cermat dan bukannya berbelanja mewah. Mungkin juga langkah dibawah boleh membantu anda.

Buat perancangan perbelanjaan agar tidak berlaku pembaziran.

1. Agih wang anda

Lakukan agihan pendapatan anda untuk perkara penting seperti membeli barangan dapur serta keperluan rumah. Bagaimanapun, jangan buat pembelian panik kerana ia akan membuatkan anda berbelanja melebihi bajet dengan membeli barangan yang sebenarnya langsung tidak diperlukan.

Tambahan pula, kerajaan telah memberi jaminan bekalan makanan cukup sepanjang tempoh PKP dan pasar raya akan dibuka seperti biasa. Masukkan sebahagian bajet untuk barang keperluan tambahan kesihatan seperti ubat-ubatan, hand sanitizer, topeng muka dan sebagainya.

Menabunglah untuk masa depan. 

2. Menabung

Jika anda tidak pernah menabung sebelum ini, sekarang adalah masa paling sesuai berbuat demikian sebagai persediaan masa hadapan yang tidak menentu. Disiplinkan diri anda untuk menolak 30 peratus daripada gaji anda sebagai simpanan untuk kegunaan pada masa kecemasan.

Jauhi pembelian dalam talian yang akan membuatkan anda rambang mata.

3. Jauhi online shopping

Sebenarnya jika kita fikir secara positif, PKP yang diumumkan kerajaan sebenarnya turut membantu kita untuk lebih berjimat cermat selain melindungi diri kita daripada bahaya Covid-19. Jika sebelum ini anda mengeluarkan RM100 setiap minggu untuk mengisi minyak serta RM200 untuk makan diluar, apa kata wang itu disimpan untuk kegunaan pada masa sukar memandangkan ketika ini ramai tidak perlu keluar rumah. Jangan pula bazirkan wang berkenaan untuk membeli barangan yang tidak diperlukan dalam talian. Cuba tahan sebarang godaan sekurang-kurangnya buat masa ini.

Ini masanya untuk mendidik anak-anak supaya menabung. 

4. Libatkan anak-anak

Ini juga masanya untuk didik anak-anak kita menabung. Selain itu, terangkan situasi semasa agar mereka sama-sama dapat membantu berjimat termasuk elektrik serta bekalan makanan.

SUMBER : Mstar

Author: Editor